fbpx
REEN RAHIM

Saya tak kurang ajar – Reen Rahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANJANG bergelumang dengan sepak terajang dunia hiburan, pelakon Reen Rahim jarang sekali melatah. Hambatlah dia dengan apa sahaja kontroversi, gosip cinta mahupun isu seksi, emosinya jarang terusik.

Tempoh 11 tahun membina nama, pelakon berusia 34 tahun itu sudah lali dengan kontroversi yang datang dan pergi dalam hidupnya.

Namun kali ini, segalanya berbeza apabila dia secara tidak sengaja meninggikan suara kepada pelakon lelaki senior, Fezrul Khan yang dirasakan memperlakukan dirinya dengan kasar sewaktu penggambaran sebuah adegan cekik dalam filem baharunya, Batu Syaitan.

Kedengaran enteng, tetapi isu tersebut meleret-leret sehingga berlakunya perselisihan faham antara mereka.

Bagi Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, dia enggan memanjangkan isu dan mahu saling memaafkan jika ada ruang untuk berbuat demikian.

UNTUK masa akan datang, Reen terbuka menerima tawaran bersama Fezrul selepas ini.

“Sekiranya niatnya (Fezrul) memuat naik video tersebut untuk tarik perhatian dalam media sosial dan meraih pengikut dengan menggunakan nama saya, saya maafkan.

“Dari awal memang saya tidak mahu panjangkan isu tetapi pihak sebelah sana melakukan perkara sebaliknya.

“Nanti menjawablah di sana (akhirat) kerana disebabkan tindakan itu, ramai pula yang buat dosa kering,” tuturnya kepada Pose dalam pertemuan istimewa, Selasa lalu.

Berkongsi lanjut, Reen pernah cuba untuk berbincang secara peribadi bersama Fezrul dalam aplikasi WhatsApps, namun respons sebaliknya yang diterima.

“Selepas kejadian mengamuk, saya tenangkan diri sekitar 10 minit. Kemudian, saya mesej Fezrul dengan harapan keadaan akan semakin okey.

“Berbeza pula situasinya apabila respons Fezrul agak lari topik dan sedikit keras bagi saya,” luahnya.

Meskipun dituduh tidak profesional mengendalikan situasi dan emosi, pelakon filem Daddyku Gangster itu sedia menerima apa sahaja implikasi akibat insiden yang berlaku.

Dia malah enggan membuktikan sebarang fakta atau memberikan penjelasan dalam media sosial untuk tidak membuang masa.

REEN bertegas tidak berniat mahu bersikap kurang ajar, namun mengakui insiden mengamuk selepas babak cekik bersama Fezrul terjadi di luar kawalannya.

“Saya terima dengan hati terbuka. Mungkin Allah nak uji saya untuk berdepan dengan perkara ini.

“Tidak perlu untuk saya buktikan apa-apa dalam media sosial kerana tidak akan membawa manfaat dan keluarga tahu hal sebenar,” tutur Reen.

Demi tidak mengeruhkan keadaan, Reen sekali lagi memohon maaf kepada Fezrul atas apa yang berlaku dan menganggap kontroversi tersebut merupakan satu pengajaran untuk memperbaiki sikapnya.

“Saya nak ambil kesempatan untuk memohon maaf atas apa yang telah terjadi. Saya akan belajar daripada kesilapan dan sedar silap saya.

“Silap saya kerana tidak tenang mengendalikan situasi tersebut. Selepas ini kalau sakit, saya akan cuba berselawat dahulu sebelum bertindak balas.

“Perkara ini menjadi pengajaran untuk saya muhasabah diri,” katanya.

Lebih parah, perkelahian Reen dan Fezrul mencetuskan satu isu lain apabila dituduh sengaja mencipta gimik untuk promosi filem baharu.Tegas Reen dakwaan tersebut tidak benar sama sekali.

Sejak dahulu, dia tidak gemar mencipta kontroversi murahan yang boleh mencetuskan kemarahan ramai pihak.

Bangkai

“Kejadian itu bukan gimik. Kalau ini gimik, saya akan mendatangkan amarah ramai pihak sehingga menimbulkan fitnah yang boleh membawa kepada dosa kering,” tutur anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu.

Meneruskan bicara, Reen juga tidak akan teragak-agak untuk menerima sebarang tawaran berlakon bersama Fezrul selepas ini.

REEN RAHIM enggan memberatkan fikiran dengan terlalu memikirkan pandangan buruk netizen terhadap dirinya.

Bagaimanapun, dia akan cuba mengawal diri supaya tidak terbawa-bawa sikap ‘di rumah’ sewaktu di lokasi penggambaran.

“Saya tidak kurang ajar seperti yang digembar-gemburkan netizen. Saya cuma terbawa-bawa perangai ‘rumah’ yang terjerit-jerit apabila ada sesuatu yang menyakitkan atau dirasakan tidak kena.

“Saya tidak kisah orang label saya sebagai kurang ajar kerana saya percaya kata-kata netizen ibarat bangkai.

“Tanam bangkai sedalam mana pun, busuk itu akan naik,” kongsinya yang enggan memeningkan kepala berlawan hujah netizen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN