KOTA BHARU – Lebih 100 penduduk di Kampung Parit, Pasir Tumboh di sini menegaskan tidak akan menjelaskan bil air biarpun berdepan tunggakan mencecah ribuan ringgit.
Kebanyakan penduduk memberikan alasan mereka tidak menggunakan air yang disediakan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) kerana yang sudah lama terputus selain bekalan tidak sampai ke rumah masing-masing lebih lima tahun lalu.
Seorang penduduk, Mohd. Farisal Ku Zaid, 35, berkata, dia menerima bil air sebanyak RM4.50 iaitu jumlah minimum pada setiap bulan biarpun tidak menggunakan perkhidmatan air AKSB.
“Rumah saya tidak mendapat air AKSB, kami bergantung dengan air telaga tiub untuk kegunaan harian. Setakat ini bil sudah mencecah RM300 kerana sudah lima tahun tidak menjelaskan bayaran.
“Buat apa hendak bayar bil sedangkan tidak mendapat bekalan air bersih daripada paip AKSB. Hanya angin yang keluar daripada paip,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Menurut Mohd. Farisal, penduduk kampung sudah membuat aduan kepada AKSB berhubung masalah itu, namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak yang terlibat.
“Saya berasa hairan kerana meter air sudah patah sejak beberapa tahun lalu, namun AKSB tetap datang menghantar bil setiap bulan,” katanya.
Berita berkaitan: Orang Kelantan culas bayar bil air RM28.5 juta
Seorang lagi penduduk, Mohd. Zuraini Mohamed, 40, memberitahu, tunggakan bil air di rumahnya kini mencecah RM400 kerana sudah tujuh tahun tidak menjelaskan bayaran utiliti tersebut.
“Kami menggunakan telaga tiub kira-kira lima tahun lalu, kenapa perlu bayar bil air jika tidak guna? Saya sudah meminta AKSB untuk tanggalkan meter air, tetapi tiada sebarang tindakan dibuat setakat hari ini,” katanya.
Mohd. Zuraini berkata, penduduk sudah bersepakat untuk tidak menjelaskan tunggakan bil air dan menunggu pihak AKSB memotong bekalan tersebut.
Sementara itu, ibu tunggal, Hayati Mohd. Yakob, 57, mengakui berdepan tunggakan bil air mencecah RM800 kerana tidak dijelaskan sejak hampir 10 tahun lalu.
“Kebanyakan penduduk kampung menggunakan air telaga tiub. Jika AKSB minta langsaikan (tunggakan), memang tidak mampu kerana tiada pendapatan tetap. Jika mahu potong bekalan tidak mengapa,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan AKSB merekodkan sebanyak RM28.5 juta tunggakan bayaran bil air kerana kebanyakan penduduk di negeri ini gagal membayar utiliti tersebut setakat 30 September lalu.
Jumlah itu berkurangan berbanding 31 Disember 2021 iaitu sebanyak RM33.2 juta. Tunggakan paling tinggi melibatkan pengguna domestik iaitu RM18.4 juta selain kutipan perlahan disebabkan peringkat pemulihan pasca Covid-19.















