fbpx

Sindiket curi, seludup Honda Wave Alpha ke Thailand tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cheng San (dua dari kanan) pada sidang akhbar tangkapan dan rampasan barangan kes curi serta seludup motosikal di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Menyasarkan motosikal jenis Honda Wave Alpha sebelum diseludup masuk ke negara jiran, Thailand untuk dijual pada harga yang tidak masuk akal iaitu hanya kira-kira RM1,000 sebuah.

Itu antara modus operandi satu sindiket dipercayai digunakan dua suspek lelaki bagi mengelak perbuatan jahat mereka dihidu pihak berkuasa negara ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, taktik licik dua lelaki warga tempatan itu bagaimanapun terbongkar apabila kedua-duanya diberkas satu pasukan khas baru-baru ini.

Terdahulu katanya, pasukan khas itu ditubuhkan sejak dua bulan lalu untuk menjalankan operasi Op Lejang Wave Alpha susulan 10 laporan polis diterima berkaitan kes kecurian motosikal di kawasan parkir stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bukit Mertajam dan Bukit Tengah antara Jun hingga Ogos lalu.

Beliau berkata, suspek pertama berusia 46 tahun itu ditangkap ketika berada di Padang Besar, Perlis kira-kira pukul 6.25 petang pada 23 November lalu manakala suspek kedua berumur 41 tahun pula ditahan berhampiran stesen bas di Butterworth tiga hari kemudian.

Menurutnya, susulan tangkapan tersebut, polis merampas dua motosikal, peralatan mencuri selain pakaian yang dipakai bagi tujuan berkenaan selain beberapa dokumen untuk merentasi sempadan negara jiran.

“Hasil soal siasat mendapati, sindiket ini hanya menyasarkan motosikal jenis Honda Wave Alpha di stesen-stesen KTMB, pasar awam dan hospital sebelum dicuri, diseludup dan dijual ke negara jiran.

“Dengan tertumpasnya sindiket ini juga, polis percaya bahawa ia turut menyelesaikan sebanyak 87 kes kecurian motosikal setakat ini iaitu 30 kes di sekitar Pulau Pinang dan selebihnya di Kedah,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Cheng San berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun selain denda.

“Ketika ini, tempoh reman untuk kedua-dua suspek dilanjutkan sehingga 4 Disember ini,” katanya yang memberitahu, suspek pertama mempunyai 29 kes lampau berkaitan jenayah selain tiga kes berkaitan dadah manakala suspek kedua pula memiliki sembilan kes jenayah lampau.

Menurut beliau, ketika ditahan, kedua-dua suspek bagaimanapun bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

Difahamkan, motosikal curi yang diseludup ke negara jiran itu dijual kepada orang tengah atau orang persendirian untuk kegunaan harian termasuk bagi menjalankan kerja-kerja ladang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI