fbpx

Rasai kedamaian glamping di ladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para penginap glamping D’Impian Agro Farm juga boleh bermain dengan haiwan di zoo mini.

DAMAI suasana tatkala melangkah masuk ke Glamping D’Impian Agro Farm, Muar, Johor lantaran disajikan dengan pemandangan flora dan fauna indah disusuli kesegaran alam semula jadi yang menghiasi di sekelilingnya.

Terletak di Kampung Sungai Belukang bersempadan dengan Semerah dan Kampung Parit Yusof, lokasi perkhemahan glamping itu pastinya menjanjikan detik indah buat mereka yang gemarkan simfoni alam.

Glamping adalah aktiviti perkhemahan glamor yang semakin menjadi pilihan masyarakat pada hari ini untuk meluangkan masa bersantai bersama keluarga, sahabat serta rakan.

Menurut pemilik D’Impian Agro Farm, Baharuddin Mohamed, 46, aktiviti glamping di situ menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang boleh diteroka oleh pengunjung.

“Kami bukan sekadar mewujudkan lokasi glamping semata-mata, tetapi di sini kami menyediakan zoo mini untuk pelawat yang ingin melihat haiwan secara dekat.

“Justeru, pengunjung yang menginap di sini turut mendapat peluang untuk melihat haiwan-haiwan dipamerkan seperti kambing jenis barbados, burung unta dan rusa.

“Menariknya, haiwan ini boleh dilihat secara dekat bagi memberi pengalaman sebenar kepada pelawat.

“Selain itu, ladang agro ini mempunyai beberapa tanaman iaitu buah tembikai susu, sayur salad, cili dan sawi. Ia boleh dipetik untuk dibawa pulang atau dimasak,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Baharuddin yang juga bekas pegawai khas menteri besar berkata, alatan untuk aktiviti barbeku turut disediakan buat pengunjung, sekali gus menghidupkan aura alam semula jadi.

Terdapat antara enam hingga 10 khemah di setiap lokasi bagi mengurangkan kesesakan di kolam mandi dan bilik air.

Katanya, peserta glamping turut berpeluang meneroka keindahan alam melalui aktiviti beriadah di pantai, kolam air panas serta sawah padi.

“Kami menyediakan perkhidmatan membawa pengunjung menghayati panorama matahari terbenam di Pantai Seri Menanti.

“Lokasi ini merupakan antara destinasi pelancongan menarik dalam daerah Muar.

“Selain itu, pengunjung berpeluang merasai aktiviti rendaman kaki dalam air panas semula jadi di Kolam Air Panas Gersik, sebelum melihat hamparan sawah padi di Sungai Buaya,” katanya.

Baharuddin berkata, peserta glamping juga boleh membuat pilihan dengan aktiviti mendaki Bukit Mor yang terletak di Parit Jawa.

PENGUNJUNG boleh merasai pengalaman memetik buah-buahan yang terdapat di D’Impian Agro Farm, Muar, Johor.

Jelasnya, aktiviti tersebut sangat bertepatan dengan pengunjung yang mahu mencabar kekuatan fizikal dan mental.

Dia yang merupakan graduan doktor falsafah dalam bidang kecergasan buatan di Universiti Nottingham, United Kingdom berkata, destinasi percutian itu mempunyai lebih 20 khemah dengan harga bermula RM290 sehingga RM350 semalam.

“Sebuah khemah boleh memuatkan empat individu. Harga ditawarkan bagi pakej penginapan adalah dua hari satu malam termasuk sarapan untuk empat orang.

“Salah satu keunikan di tempat kami adalah khemah ditempatkan di beberapa lokasi berbeza.

“Setiap lokasi terdapat antara enam hingga 10 buah khemah yang turut disediakan sebuah kolam mandi serta bilik air.

“Jadi, pengunjung mempunyai lebih privasi kerana tidak perlu berkongsi bilik air atau kolam dengan ramai penghuni lain.

“Ini lebih mudah bagi mereka yang merancang untuk mengadakan hari keluarga dan sebagainya. Selain itu, kami menawarkan aktiviti menaiki basikal dan skuter secara percuma untuk pelawat meninjau ladang kami seluas 3.2 hektar,” katanya.

Baharuddin berkata, aktiviti bermalam di situ pastinya menjanjikan pengalaman indah lantaran peluang menikmati kesegaran alam.

“Jika ada tanggapan mengatakan aktiviti glamping tidak menarik, ayuh datang ke sini dan rasainya sendiri.

“Nikmati kedamaian alam seperti kokokan ayam kampung, kicauan burung dan kedinginan embun pagi di sini.

“Itulah yang menjadikan perkhemahan glamping di sini berbeza dengan tempat-tempat lain,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI