fbpx

Peruntukan RM113 juta selenggara sungai, saliran di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri memperuntuk RM113 juta bagi melaksana pelbagai inisiatif antaranya menyelenggara sungai dan saliran bagi mengurangkan risiko kejadian banjir dan banjir kilat kembali berulang, di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu akan disalurkan secara terus kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah terlibat.

Menurut beliau, insiden banjir dan banjir kilat yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini telah menyebabkan kerosakan harta benda dan turut mengancam keselamatan orang awam.

“Sebanyak RM71 juta disediakan bagi tujuan pengurusan banjir dan saliran yang meliputi kerja-kerja penggalian dan mendalamkan sungai, membina rumah pam air, pembersihan kolam takungan banjir dan sistem amaran awalan banjir.

“Seterusnya, sebanyak RM42 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggara parit dan saliran selain RM700,000 bagi membeli pam bergerak untuk memudahkan operasi mengepam air keluar terutama di beberapa kawasan rendah yang sering dilanda banjir kilat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melebihi dua jam bagi membentangkan Belanjawan Johor 2023 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah beliau, setakat ini terdapat 432 ‘hotspot’ banjir yang telah dikenal pasti di seluruh negeri Johor.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut memberitahu kerajaan negeri akan memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Program Pemuliharaan Sungai memelihara dan memulihara sungai-sungai agar berada dalam keadaan yang bersih.

“Untuk tujuan tersebut, RM1.8 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pemuliharaan Sungai Skudai dan Sungai Tebrau, projek Denai Sungai dan pelaksanaan Program 1 Daerah 1 Sungai.

“Selain itu, kita turut memperuntukkan RM300,000 bagi meneruskan usaha pemuliharaan Sungai Kim Kim agar terus lestari dan bagi mengelak insiden pencemaran pada tahun 2019 berulang kembali,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI