fbpx
JULIA FARHANA akan bernikah Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum dalam masa terdekat.

Julia Farhana bakal nikahi duda Lufya, jodoh pilihan keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun mengenali hati budi atas pilihan keluarga, pelakon Julia Farhana Marin kini sedang menghitung hari untuk bergelar isteri kepada Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum dalam masa terdekat.

Kata pemilik nama sebenar, Julia Farhana Marin, walaupun awalnya mahu fokus terhadap kerjaya seni, sikap memahami dan kematangan dimiliki duda anak satu itu membuka hatinya untuk menamatkan zaman bujang pada usia 27 tahun.

“Kami sama-sama mementingkan privasi kerana sebelum ini pun perkongsian saya kebanyakannya berkenaan kerjaya malah khabar perkahwinan pun asalnya dihebahkan pihak lain.

“Begitu juga dengan pertunangan, semuanya tidak dihebahkan kerana boleh katakan saya ikut aturan keluarga. Apabila tengok dia sangat memahami saya dan kesibukan kerjaya saya, kenapa tidak saya ikut pilihan emak.

“Setakat ini persiapan hari bahagia kami nanti sudah 90 peratus selesai hasil bantuan keluarga terdekat selain menerusi pembahagian tugas memandangkan saya dan tunang sama-sama sibuk.

“Sejujurnya hendak ‘dating’ pun tiada masa, sehinggakan saya sendiri tidak ingat bila kali terakhir kami berjumpa,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis pelancaran Flagship Store Rizman Ruzaini di Hotel Four Seasons, semalam.

Sedia maklum perkahwinan tersebut datang bersama ‘pakej’ anak tiri, pelakon Asam Pedas Untuk Dia itu menjelaskan . status bapa tunggal kepada seorang anak perempuan bukan suatu masalah baginya untuk menerima Muhammad Hafiz dengan ikhlas.

Sebaik membuka pintu hati, Julia sudah berfikir masak-masak sebelum meneruskan hubungan berkenaan ke tahap serius hingga melangkah ke gerbang perkahwinan.

Begitupun katanya, dia belum berkesempatan untuk bertemu atau berkenalan dengan Laana Haura, 5, kerana menghormati ibu anak kecil tersebut yang juga seorang pelakon, Lufya Omar.

“Saya akur dengan situasi selain menghormati semua pihak terutama ibu kepada Laana Haura. Insya-Allah jika dibenarkan, tetapi andai tidak boleh saya ikut saja kata tunang.

“Kami pun belum lagi berkahwin dan saya belum lagi menjadi ibu tirinya. Jadi setakat ini saya tengok saja dari jauh. Belum lagi berkesempatan kenal secara dekat.

“Laana Haura ada ibu kandung. Kalau saya mahu dekatinya tentu saya perlu dapat kebenaran daripada ibunya dulu. Tapi kalau tidak diterima, saya tak boleh buat apa-apa,” katanya lagi.

Enggan lagi membangkitkan kemelut dengan pihak lain, tambah Julia semua yang berlaku sebelum ini hanyalah salah faham sekaligus berharap keadaan dapat dijernihkan.

Terdahulu, bakal suami Julia, Dr. Che Muhammad Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan Lufya pada November 2016, namun bercerai pada 17 Jun 2020. – KOSMO! ONLINE

POPULAR