PROGRAM realiti nombor satu tanah air, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) akhirnya melabuhkan tirai selepas 11 minggu pertarungan dengan Jaclyn Victor gemilang diangkat sebagai juara.
Sedikit berbeza daripada telahan ramai apabila Bob Yusof bergelar naib juara. Shila Amzah yang dijangka memberi saingan merebut takhta juara terpaksa berpuas hati di posisi ketiga.
Daripada pemerhatian peribadi, pendekatan memberi 100 peratus markah hanya berdasarkan persembahan pada malam kemuncak barangkali tidak adil untuk finalis bertanding.

Sudahlah terpaksa bertahan selama 11 minggu disebabkan pelbagai isu, termasuk Pilihan Raya Umum ke-15, pusingan battle yang memerlukan peserta berpadu tenaga menyanyikan lagu rap pula dilihat menjunamkan prestasi peserta.
Meleraikan perihal tersebut, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, pihaknya akan melakukan ‘post-mortem’ untuk edisi akan datang berhubung perkara tersebut.

“Kami ambil kira semua maklum balas peminat yang mengatakan bahawa ‘rap battle’ patut diubah kepada segmen lain.
“Nak menang RM100,000 bukan benda yang mudah. Kita cuma nak beri satu cabaran untuk peserta keluar dari kotak kelaziman.
“Biasanya peserta yang masuk bertanding memang tiada latar belakang menyanyi rap. Jadi, itu barangkali satu-satunya jalan untuk kita lihat peserta keluar dari kotak selamat.
“Kami nak tengok kerja keras untuk hadiah yang ditawarkan. Tahun ini, kita buat lain sikit kita gabungkan lagu rap Inggeris dan Melayu.
“Jadi, untuk GV10, mungkin ada sesuatu yang lain akan kami masukkan untuk segmen kedua iaitu ‘battle’ pada babak final,” ujar Raqim kepada HibGlam.
Berpuas hati dengan prestasi kesemua finalis GV9 kali ini, juri tetap, Datuk Ramli MS pula berkata, pemilihan Jac sebagai juara sememangnya sebulat suara dari meja juri.
“Saya sangat gembira dengan bakat tahun ini. Kesungguhan dan kerja berat mereka semua sangat cantik.

“Saya sangat terkejut dengan pusingan battle Jac. ‘Attitude’ dia sangat kena ketika berpadu dengan V.E.
“Sungguh pun begitu, markah rap Shila tinggi. Sangat tinggi tapi persembahan solonya kurang,” kata Ramli.
Sementara itu, seorang lagi juri tetap, Hetty Koes Endang menyifatkan semua finalis bertanding pada malam kemuncak adalah juara.
“Semuanya juara. Hanya tinggal keberuntungan. Pertama sekali, pemilihan lagu. Kedua, susunan muzik. Tapi, jujur, GV9 ini adalah yang paling baik. Paling hebat,” ulasnya ringkas.
Terus membakar semangat peserta, Datuk Syafinaz berkata: “Setiap seorang peserta tidak kalah bertanding. Masing-masing memberi tentangan kepada setiap peserta.”

Tak terfikir bertanding, jadi juara – Jac
Juara edisi paling sengit dalam sejarah penganjuran GV, Jac mengakui pada mulanya tidak mahu bertanding, namun selepas lama berfikir, tiada secebis penyesalan pun timbul, terutama setelah menyedari kuatnya jalinan persaudaraan antara peserta dan pihak terlibat.
“Mulanya, saya tak mahu mengambil bahagian dalam pertandingan ini tapi bila saya fikir dan buat keputusan, memang tak menyesal langsung.
“Memang payah dan banyak cabarannya tapi saya sangat sukakan pengalaman dalam GV9. Sekarang, lega dah habis (ketawa),” katanya.

Jac atau nama sebenarnya, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor menambah, dia tidak pernah terfikir GV9 dengan mudah menempatkan dirinya di kedudukan juara.
“Apabila orang memberi harapan untuk kita jadi nombor satu setiap minggu, sudah tentu akan rasa tertekan. Tapi, saya tak nak fikir begitu.
“Apa yang ada dalam fikiran saya setiap masa adalah, kalau dapat, dapatlah. Kalau tak dapat, tidak mengapa. Yang saya janji adalah sentiasa berikan persembahan terbaik. Itu mantra saya.
“Saya tak boleh menari dan berlakon. Jadi kerja saya hanya menyanyi.
“Apabila tak pandai bab lain, saya fokus hanya untuk nyanyian,” katanya.

Rezeki Bob, Shila ‘sakit’
Shila yang menzahirkan sebuah aksi ‘basah’ ketika persembahan solo mengakui terbit sedikit kecewa dengan prestasi sendiri pada malam kemuncak.
Keadaan kesihatan mengekang dirinya daripada memberikan 100 peratus energi seperti kebiasaan.
“Sejak Rabu, telinga saya dah pekak sebelah sebab bengkak dan ada jangkitan.
“Semasa ‘soundcheck’ saya dah tak okey. Tapi, alhamdulillah masa Separuh Akhir Muzik Muzik, saya okey balik.
“Tapi bila hari Sabtu, saya dah rasa tak ‘sedap’. Jadi, hari ini (malam Ahad), saya hilang suara. Tak boleh buat apa-apa.
“Mestilah saya kecewa sebab semua benda yang saya buat, saya fikirkan sendiri. Persembahan solo pertama, memang saya nak ada air atas pentas.
“Dari segi vokal, saya boleh buat lebih baik tetapi keadaan tak mengizinkan. Tiada rezeki tapi saya puas hati dengan perjalanan dalam GV9,” ujarnya dalam keadaan suaranya serak dan lemah.

di tangan Jac dan Bob.
Naib juara, Bob sememangnya tidak menyangka berada di tempat kedua. Ketika melakukan persembahan, dia hanya ingin melakukan yang terbaik.
“Pemilihan lagu solo; Sejati dan Rahasia Perempuan memberi tuah buat saya. Mungkin ramai tak tahu saya ada kemampuan menyanyi sebegitu dan pada malam final saya buktikan kepada semua.
“Saya percaya kepada rezeki. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya akan terus berjuang barangkali dengan lagu-lagu sebegitu ‘hibrid rock’ balada untuk memberi pembaharuan di jalan seni nyanyian saya,” terang Bob.
GV9 sudah usai dengan jayanya. Kini tiada lagi hiburan nombor satu pada hujung minggu. Tiada lagi telatah menggelikan hati Kak Lina Pom Pom sebagai pengacara di samping Nabil Ahmad sehinggalah musim selanjutnya.
Syabas kepada pihak produksi untuk edisi yang sangat ‘panjang’ kali ini. Ramai yang ingin tahu bagaimana ‘sambutan’ 10 tahun GV10 dari segi pembaharuan, sinergi pengacara memandangkan Elly Mazlein sudah meletakkan satu lembaran baharu sebagai pengendali acara.

di tempat keempat pada malam kemuncak GV9.
















