fbpx

‘Maafkan ibu anakku sayang, kita terpaksa berpisah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Milah memeluk erat dua anaknya ketika dipertemukan pada Program Jalinan Kasih di Penjara Simpang Renggam, Kluang.

KLUANG – “Maafkan ibu sa­yang, kita terpisah di sebalik tirai besi ini angkara orang yang kita harap­kan sebagai pelindung.”

Demikian bisik Milah, 41, (bukan nama sebenar) kepada dua anak perempuannya berusia tujuh dan lima tahun pada program Jalinan Kasih di Penjara Simpang Renggam di sini.

Pertemuan selama tiga jam selepas dua tahun terpisah itu mengundang sebak dan air mata tiga beranak berkenaan yang turut meruntun hati insan lain.

Menurut Milah, sejak dirinya dikenakan tahanan pada tahun 2020, dia terpaksa menyerahkan penjagaan dua anak perempuannya kepada ibu dan bapanya sementara menunggu masa untuk dibebaskan.

Walaupun tidak pasti penghujung nasibnya, Milah meluahkan dirinya sentisa percaya ada sinar kebahagiaan buat mereka tiga beranak.

Malah jelasnya, jawapan diri­nya tidak bersalah akan terlerai.

“Saya amat kesal apabila turut dilibatkan hanya kerana bersama dengan orang yang benar-benar dipercayai sebelum ini.

“Walau apa pun, semua ini akan dijadikan pengajaran hidup agar tidak lagi mempercayai seseorang sepenuhnya demi kehidupan lebih sempurna,” katanya ketika ditemui pada program yang dianjurkan Penjara Simpang Renggam itu.

Menurut Milah, program yang dianjurkan penjara berkenaan amat besar ertinya kerana ia satu usaha untuk tidak memutuskan nilai kasih sayang khususnya antara ibu dan anak serta ahli keluarga lain.

Ujarnya, apa yang diharapkan kini adalah dua anaknya itu akan menerima ketentuan hidup mereka dan memahami segala yang berlaku kepadanya biarpun mereka masih tidak mengenal erti kehidupan sebenar.

“Alhamdulilah, masa tiga jam yang diberikan ini sebenarnya tidak cukup, namun sekurang-kurangnya ia mampu menjadi penawar rindu antara kami yang dipendam sejak lebih dua tahun terpisah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penjara Simpang Renggam, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Abdul Kadir Jailani Ismail berkata, seramai 24 penghuni banduan wanita reman tidak dapat menahan sebak selepas ditemukan dengan ibu dan anak masing-masing.

Katanya, semua banduan yang terlibat dalam program berke­naan dipilih khusus oleh pihak pemulihan Institusi Penjara.

Menurutnya, program ini ­merupakan satu inisiatif Penjara Malaysia untuk memperkukuhkan ikatan kekeluargaan antara penghuni dan keluarga.

“Kami ingin membawakan konsep berbeza daripada kebia­saan dengan ­mengambil pendekatan dinamik dalam penganjuran program ­selari dengan peraturan ‘Bangkok Rules’.

“Selaras dengan itu, kami memilih banduan reman wanita sebagai sasaran untuk diberikan fokus dalam mengadakan konsep bertemakan ‘Keluarga penyayang, kasih ibu dan anak’,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI