fbpx
SEORANG pemandu jentolak ternampak kelibat ular sawa gergasi yang selama ini dianggap sebagai kisah mitos oleh penduduk kampung. – ILUSTRASI HASAN SHAH

Misteri kelibat ular sawa gergasi melintas jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH haiwan purba raksasa yang kononnya mendiami tasik Loch Ness, Scotland sememangnya popular seantero dunia.

Raksasa Loch Ness atau nessie merupakan makhluk mitos dalam kisah rakyat masyarakat tempatan yang dikatakan mendiami tasik di tanah tinggi itu.

Ia sering digambarkan sebagai bersaiz besar, berleher panjang dengan satu atau lebih bonggol yang timbul di permukaan air.

Berbeza kisahnya dengan seorang lelaki berasal dari utara tanah air, Roslan Ahmad, 53, yang menceritakan mengenai kisah mitos di kampungnya.

Katanya, terdapat seekor ular sawa bersaiz besar yang mendiami kawasan hutan berhampiran kampungnya.

Menurut Roslan, kisah tersebut sememangnya menjadi mitos atau kisah lagenda di kampung kelahirannya, namun terpulang kepada pihak luar sama ada ingin percaya atau tidak.

Roslan yang tinggal di Banting, Selangor berkata, kewujudan ular sawa sepanjang lebih lima meter dengan ukur lilit tidak dipastikan ukurannya itu sering menjadi bualan orang kampung sejak tahun 70-an lagi.

“Kisahnya begini, kira-kira 40 tahun lepas ada seorang budak kampung saya bernama Iskandar mendakwa pernah bertemu dengan ular ini.

“Disebabkan itu, Iskandar demam selama seminggu disebabkan terkejut bertemu dengan ular sawa gergasi yang mengambil masa selama beberapa minit untuk melintas jalan,” katanya.

Roslan berkata, Iskandar yang ketika itu berusia 10 tahun dalam perjalanan pulang dari sekolah dengan basikal.

Katanya, pada masa itu, tiada sesiapa melalui kawasan yang dipenuhi semak-samun tersebut.

“Iskandar hanya mampu menceritakan semula pengalaman ngerinya itu selepas dia betul-betul sembuh daripada demam dan trauma.

“Iskandar berkata, pada mulanya, dia ingat apa yang dilihatnya itu merupakan batang pokok getah yang tumbang, tetapi tiada dahan dan daun,” katanya.

Jelas Roslan lagi, Iskandar tergamam apabila mendapati apa yang dilihatnya itu adalah seekor ular sawa yang mempunyai lumut pada sebahagian besar tubuhnya.

Katanya lagi, Iskandar pulang ke rumah dengan wajah pucat lesi setelah melihat sendiri ular sawa yang selama ini menjadi topik perbualan orang tua di kampung tersebut.

“Apa yang menyedihkan kisah tersebut sukar dipercayai oleh penduduk kampung dan mereka melabelkan Iskandar sekadar mencari alasan untuk tidak ke sekolah.

“Sememangnya, Iskandar terkenal dengan kenakalannya. Tetapi dia begitu marah apabila dituduh sebagai ‘kaki kencing’. Iskandar sampai bersumpah yang dia tidak berbohong tentang pengalamannya itu,” katanya.

Roslan memberitahu, sejak dilabel gelaran ‘kaki kencing’, ‘kaki auta’ dan penglipur lara, Iskandar sudah jarang bermain bersama rakan sekampung, sebaliknya mula bercampur dengan orang luar.

Iskandar juga berharap orang yang menuduhnya sebagai penipu akan diberi peluang untuk menemui sendiri ular sawa gergasi tersebut.

“Selama lebih 30 tahun kisah itu terus tinggal mitos. Orang tua yang dikatakan pernah menemui ular sawa gergasi berkenaan pada tahun 70-an juga telah meninggal dunia iaitu sebelum Iskandar dilahirkan.

“Maka, tiada siapa dapat mengesahkan ia ular sawa yang sama dijumpai Iskandar atau sebaliknya,” katanya.

Cerita Roslan lagi, apabila tapak tanah di kawasan ular sawa gergasi melintas dibersihkan kira-kira 10 tahun lalu mitos yang diuar-uarkan oleh Iskandar selama ini seakan terungkai.

Tambah Roslan, pemandu jentolak yang sedang menolak sebatang pokok ternampak kelibat ular sawa besar sedang melingkar di bawah pokok tumbang.

“Pemandu jentolak yang terkejut besar cuba menekan ular sawa besar tersebut dengan menggunakan penyodoknya. Namun, dia gagal berbuat demikian apabila penyodoknya tersangkut pada akar pokok.

“Ular sawa besar berkenaan terus melarikan diri dari lokasi itu dan kelibatnya lenyap. Kewujudannya kekal misteri sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN