fbpx

YGMB berusaha dekati guru pedalaman Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tah Nia (berdiri, tengah) bersama Aminudin dan Wan Munadi bergambar bersama penerima sumbangan Khas Ziarah Kasih di Kota Kinabalu semalam.

 

KOTA KINABALU – Kesukaran akses perhubungan antara halangan utama mendekati guru-guru di pedalaman Sabah dalam usaha memberikan kesedaran berkaitan caruman di bawah Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Tah Nia Jaman berkata, faktor Geografi berbukit dan jarak yang jauh untuk memasuki suatu kawasan pedalaman di negeri berkenaan harus diambil kira selain Sabah mempunyai keluasan yang luas.

“Penyertaan guru Sabah yang masih rendah bukan disebabkan kekurangan kesedaran dalam kalangan warga pendidik namun ia lebih kepada akses untuk mendekati guru-guru.

“Sebilangan guru di Sabah berada jauh di kawasan pedalaman. Ia menyebabkan ramai guru yang masih belum terdedah dengan kepentingan mencarum dalam skim-skim yang ditawarkan YGMB.

“Oleh itu, kita tidak boleh menyifatkan penyertaan guru di negeri ini rendah akibat kurang penerimaan dalam kalangan warga pendidik. Mereka sebaliknya harus diberi kefahaman tentang manfaat dan kebaikan yang bakal diperoleh melalui penyertaan sebagai ahli YGMB agar mereka boleh dilindungi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penyerahan sumbangan khas Ziarah Kasih dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-28 YGMB semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Ekselutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Mengulas lanjut, Tah Nia menyatakan pihak YGMB perlu memperhebatkan lagi usaha mendekati seramai mungkin warga pendidikan yang boleh kerana taburan sekolah di Sabah sangat luas.

“Sekolah-sekolah di Sabah bukan hanya terletak di bandar tetapi di luar bandar yang sukar untuk diakses.

“Melihat perkara ini, usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi meyakinkan guru-guru berkenaan.

“Kita selalu sebut malang tidak berbau jadi inilah ruang yang ada untuk berkongsi manfaat dengan warga guru serta anggota kumpulan pelaksana sokongan yang lain,” katanya

Dalam pada itu, beliau memaklumkan penyertaan guru-guru di Sabah yang mencarum di bawah YGMB adalah baik iaitu lebih 6,000 orang.

Bagaimanapun, Tah Nia berkata, adalah lebih baik jika jumlah itu boleh ditambahkan agar ramai yang akan menerima manfaat melalui YGMB.

Sementara itu, Pengerusi YGMB, Aminudin Adam berkata, yayasan itu mahu agar semua guru menjadi ahli yayasan berkenaan namun, tiada paksaan kepada guru-guru untuk menyertai YGMB.

“Keahlian YGMB di seluruh negara sudah mencecah kira-kira 130,000 orang dan terbabit dilihat masih kecil berbanding jumlah keseluruhan guru di Malaysia.

“YGMB sudah memberi bantuan kewangan lebih RM22 juta kepada ahli di seluruh negara sejak ditubuhkan sehingga sekarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI