fbpx
Gambar kenangan semasa Nasseri mendiami satu ruang terpencil di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Perancis.

Lapangan terbang lokasi ‘ideal’ dijadikan kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA Januari tahun lalu, pihak berkuasa tempatan telah menahan seorang lelaki India berusia 36 tahun selepas dia didapati menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare Chicago, Amerika Syarikat (AS) sebagai rumahnya selama tiga bulan.

Sejak Oktober 2020, Aditya Singh telah tinggal di satu bahagian yang agak ‘selamat’ di dalam lapangan terbang itu dan bergantung sepenuhnya belas ihsan orang awam untuk memberikannya makanan dan minuman, selain tidur di terminal lapangan terbang itu.

Aditya, malah turut menggunakan banyak kemudahan bilik air yang ada pada lapangan terbang itu untuk mandi dan membersihkan diri.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua apabila Aditya dicekup oleh seorang petugas lapangan terbang yang meminta dia menyerahkan kad pengenalan diri.

ADITYA

Biarpun kedengaran pelik, namun Aditya bukanlah satu-satunya individu yang pernah menjadikan sebuah lapangan terbang sebagai rumah sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya.

Nama Mehran Karimi Nasseri pernah hangat susulan tindakannya yang tinggal di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris, Perancis selama 18 tahun.

Kisah hidup Nasseri turut menjadi inspirasi filem The Terminal lakonan Tom Hanks yang ditayangkan pada tahun 2004.

Malah, Nasseri menghembuskan nafas terakhirnya akibat serangan jantung pada 12 November lalu, di lapangan terbang sama.

Nasseri merupakan pelarian warga Iran yang dalam perjalanan untuk ke Britain melalui Belgium dan Perancis pada tahun 1988, namun telah kehilangan kertas yang memperakui status pelariannya. Keadaan itu menyebabkan dia tidak boleh meneruskan perjalanan ke Britain atas alasan ibunya berasal dari Scotland, namun pada masa sama juga dia tidak boleh meninggalkan lapangan terbang di Paris itu yang menjadi tempat transitnya.

Nasseri akhirnya memutuskan untuk tinggal di lapangan terbang itu selepas mendakwa dirinya tiada warganegara. Hidupnya sentiasa bertemankan bagasinya. Dia menghabiskan masanya dengan membaca, menulis diari dan ‘belajar’ tentang ekonomi.

Nasseri buat pertama kali meninggalkan lapangan terbang tersebut pada tahun 2006 selepas dimasukkan ke hospital.

Filem The Terminal yang ditayangkan pada tahun 2004 diinspirasikan daripada kisah Nasseri.

Wartawan National Public Radio, Eleanor Beardslley dalam satu temu bual berkata, Nasseri menjadi individu yang cukup dikenali oleh kerana kisahnya yang unik.

“Dia merupakan ‘rakyat’ pertama di Lapangan Terbang Charles de Gaulle.

“Biarpun dia akhirnya mendapat semula status pelarian di Perancis, lelaki itu enggan meninggalkan kehidupan di lapangan terbang sebelum dia akhirnya terpaksa meninggalkan lapangan terbang itu pada 2006 kerana dimasukkan ke hospital.

“Dia tinggal di luar untuk beberapa tahun sebelum pada September lalu, Nasseri kembali semula ke lapangan terbang tersebut sebelum ditemui mati di Terminal 2F,” ujarnya.

Pandemik Covid-19 juga menyebabkan ada yang menjadi penduduk lapangan terbang.

Seorang lelaki Estonia, Roman Trofimov telah tinggal selama 100 hari di Lapangan Terbang Manila gara-gara Filipina tiba-tiba menghentikan pengeluaran visa kemasukan ke negara itu bagi mengekang penularan Covid-19.

Pensyarah sejarah University of Dayton, Janet Bednarek berkata, dia faham mengapa lapangan terbang boleh dijadikan sebagai rumah.

“Melihat kepada permainan video seperti Airport City atau slogan airport urbanism, saya sering melihat lapangan terbang sebagai sebuah bandar mini.

“Saya nampak bagaimana idea untuk tinggal di lapangan terbang ini muncul. Lapangan terbang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tempat ibadat, hotel, restoran makanan mewah, kawasan beli-belah dan juga lokasi persinggahan atau transit,” ujarnya.

Tidak mustahil untuk seseorang tinggal di sebuah lapangan terbang memandangkan premis itu membolehkan orang mendapat pelbagai kemudahan asas seperti makanan, air, bilik air dan juga tempat tidur.

Biarpun lapangan terbang tidak semestinya dibuka 24 jam sehari, namun terminal lapangan terbang lazimnya dibuka awal pagi dan ditutup lewat malam.

Kebanyakan kemudahan itu juga adalah cukup luas dan selesa, menyebabkan ramai orang mahu terus tinggal lama, termasuk Aditya.

Sesetengah gelandangan memilih untuk tinggal di lapangan terbang kerana kawasannya luas, sekali gus banyak ruang untuk ‘bersembunyi’.

Menariknya, bukan semua yang tidur dan tinggal di lapangan terbang mahu berbuat demikian. Mereka yang menaiki pesawat secara kerap adakalanya terpaksa menjadi ‘penghuni sementara lapangan terbang’.

Sesetengah orang mungkin menempah penerbangan yang memerlukan mereka bermalam di lapangan terbang, bagi yang lain pula, mereka mungkin terkandas di lapangan terbang kerana terlepas pesawat sambungan, penerbangan yang dibatalkan atau cuaca buruk.

Tambah Bednarek, biarpun kebanyakan yang terkandas di lapangan terbang tidak sabar-sabar mahu meninggalkan tempat itu, masih ramai yang berhasrat untuk terus tinggal di situ.

“Secara tidak rasminya, lapangan-lapangan terbang utama di AS dan Eropah sudah lama beroperasi sebagai pusat tumpangan bagi gelandangan.

“Biarpun gelandangan di AS mempunyai sejarah yang panjang, ramai penganalisis melihat tahun 1980-an sebagai titik perubahan penting yang membawa kepada penambahan bilangan gelandangan kerana banyak faktor termasuk pemotongan belanjawan persekutuan,” ujarnya.

Sebagai contoh, pada tahun 1986, akhbar Chicago Tribune melaporkan tentang Fred Dilsner, seorang akauntan berusia 44 tahun yang tinggal di lapangan terbang O’Hare, Chicago selama setahun.

Artikel itu menulis tentang gelandangan mula banyak datang ke lapangan terbang pada tahun 1984 selepas aliran kereta api Chicago Transit Authority siap. Aliran itu menyediakan akses mudah dan murah ke lapangan terbang menyebabkan 30 hingga 50 orang tinggal di lapangan terbang.

Keadaan itu berterusan di alaf baharu apabila dilaporkan pada 2018 terdapat pertambahan bilangan gelandangan di beberapa lapangan terbang AS termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta dan Lapangan Terbang Antarabangsa Thurgood Marshall Baltimore.

Kepada sebahagian besar gelandangan, pegawai-pegawai lapangan terbang memberikan bantuan kepada golongan ini. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles misalnya, pegawainya telah mengerah pasukan kawalan krisis untuk menghubungkan gelandangan dengan perkhidmatan atau kemudahan lain.

Bagaimanapun, kebanyakan lapangan terbang tetap memilih untuk mendapatkan solusi bagi menjadikan lapangan terbang tidak lagi menjadi pusat gelandangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN