fbpx

Tawar panorama ala New Zealand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG berpeluang merasai pengalaman mengejar dan menangkap kambing di ladang UK Farm, Kluang, Johor.

KETIKA mula beroperasi pada 2003, UK Agro Resort (UK Farm) hanya memberi fokus kepada pengeluaran susu kambing dan lembu di ladang seluas 40 hektar itu.

Ketika itu, pemiliknya langsung tidak pernah terfikir untuk menjadikan ladang tersebut sebagai sebuah kawasan agro pelancongan.

Pengasas yang juga Pengarah Urusan UK Farm, Goh Un Keng berkata, idea membuka resort berkonsepkan agro pelancongan di dalam ladang yang terletak di Kluang, Johor itu tercetus pada 2010.

Katanya, ketika awal pembukaan, ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan UK Farm kerana beranggapan ia merupakan tempat penternakan lembu dan kambing semata-mata.

Hakikatnya, UK Farm menawarkan 19 bilik pelbagai jenis, selain penginapan ala asrama dengan harga serendah RM40 semalam.

Untuk makluman, UK Farm boleh memuatkan sekitar 250 hingga 300 orang pada satu-satu masa.

“Bukan sekadar membawa anak-anak untuk melihat lembu, kambing dan biri-biri di ladang, kami turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang pasti tidak akan dilupakan pengunjung.

“Antaranya, pengunjung berpeluang memberi makan kepada kambing, burung unta istimewa berjari dua, itik, ayam serta arnab. Pengunjung juga dapat merasai pengalaman menyusu anak kambing.

“Di UK Farm juga, anda boleh menunggang kuda. Aktiviti paling diminati ramai di sini adalah mengejar dan menangkap kambing di padang ragut luas persis di New Zealand dan Kundasang (Sabah),” katanya.

Tambah Un Keng, pengunjung berpeluang berjalan-jalan di Taman Bunga Lavender yang menempatkan ratusan jenis bunga segar, selain melawat ladang buah-buahan.

SALAH satu aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung di UK Farm adalah memberi makan kepada kambing.

“Ladang buah-buahan kami sering menjadi perhatian dan tempat wajib pengunjung yang hadir ke sini.

“Anda juga boleh melihat sendiri secara dekat pokok markisa. Di ladang ini terdapat dusun durian dan pengunjung boleh menikmati jika tiba musim,” katanya.

Ung Keng memberitahu, pada sebelah malam, pengunjung yang menginap di situ berpeluang melakukan aktiviti night tour iaitu menaiki bas mini bagi melihat kehidupan haiwan, selain merasai pengalaman bermain tanglung langit.

“Kami menyediakan tapak perkhemahan terbuka dan kawasan barbeku. Kemudahan restoran turut disediakan dengan pelbagai menu menarik dan sedap pada harga berpatutan.

“Kami juga menyediakan kedai cenderamata yang menjual pelbagai barangan termasuk aneka susu kambing dan lembu segar untuk dibawa pulang oleh pelawat,” ujarnya.

Jelas pemiliknya lagi, UK Farm semakin mencipta nama sebagai pusat agro pelancongan terkemuka di Asia apabila menerima kunjungan ribuan pelancong dari luar negara.

Katanya, pelancong tersebut datang dari Singapura, Jepun, Brunei dan China.

Salah seorang pengunjung, Mohd. Nizam Abd. Rahman berkata, kunjungannya ke UK Farm buat kali pertama bersama keluarga benar-benar meninggalkan kenangan manis.

“Saya datang dari Melaka. Sebenarnya sudah lama hendak datang dan menginap di UK Farm ini. Lepas pandemik Covid-19 reda, baru kami berpeluang datang ke sini.

“Bagi yang inginkan ketenangan bermalam di sebuah ladang, inilah tempat terbaik. Suasana di sini juga tidak ubah seperti di New Zealand.

“Anak-anak pun gembira dapat bermain bersama haiwan yang jinak-jinak di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI