PENGUNDURAN daripada kumpulan Voices Of Euphonious (V.E) pada tahun 2007 bukanlah satu penyesalan, sebaliknya satu permulaan baharu bagi karier Lah Ahmad.
Kepuasan bergerak solo terbukti apabila penyanyi itu berjaya menghasilkan beberapa buah album solo dan kini fokus untuk mengadakan konsert pada Januari tahun depan.
Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad mengakui sangat berpuas hati dengan prestasi dirinya walaupun bergerak agak perlahan pada permulaan kerjaya solonya.
“Mungkin permulaan album solo saya agak perlahan berbanding kumpulan yang keluar album terus ‘meletup’. Tetapi saya suka naik perlahan-lahan kerana tidak mahu jadi terkenal sangat pun.
“Saya lebih seronok buat muzik yang orang akan dengar apabila dilancarkan. Saya nak buat banyak lagu yang kekal lama supaya tidak jadi karya yang didengari hanya kerana trend semata-mata dan tiba-tiba lompat ke bidang lain.
“Biar bidang muzik ini berpanjangan dan berkekalan. Apa yang penting saya lebih puas hati bergerak sendiri,” tutur penyanyi berusia 42 tahun itu.
Berkongsi kisah, pelantun lagu Kau Tercipta itu memilih membina karier solo selepas kesemua anggota kumpulan V.E rela mengorak haluan masing-masing.

Sudah menjadi adat bagi sesetengah kumpulan yang tidak akan kekal lama, Lah berpendapat setiap ahli memiliki pandangan berbeza-beza.
“Saya keluar daripada V.E pada 2007 sewaktu semua ahli lain nak bawa haluan masing-masing. Ketika itu juga ada yang sudah berkahwin.
“Masa itu dah tak nampak mampu pergi jauh sebab semua tidak boleh memberikan komitmen penuh,” katanya.
Menjelaskan lanjut mengenai pembubaran V.E, penyanyi itu mengakui ada ketikanya mereka berasa penat dan sakit hati bersama sebagai satu kumpulan. Disebabkan itu mereka sepakat ‘berpisah’.
Zaman kejatuhan
“Ketika penghujung karier V.E, saya buat keputusan keluar dan selepas itu berkahwin. Dalam setahun yang sukar, saya tidak memiliki apa-apa.
“Sudah merasa duduk di atas dengan gah, tiba-tiba Allah tarik macam itu sahaja. Tiada orang yang nak tolong saya,” getusnya menceritakan duka.
Datanglah apa saja cabaran yang menerjang, Lah bagaimanapun tetap positif dan menganggap ujian tersebut sebahagian dari cabaran Allah untuk melembutkan hatinya supaya tidak merasakan diri terlalu agung.
Pengalaman lalu membuatkan bapa kepada tiga cahaya mata itu bersyukur atas ujian yang diturunkan kerana sedikit sebanyak membantu dia bermuhasabah dengan diri sendiri.
Selepas tenggelamnya nama V.E akibat perpecahan yang terjadi, kerinduan peminat kumpulan itu sedikit terpadam dengan kemunculan versi baharu V.E dibarisi Adeep Nahar, Fakhiz, Cham dan Hakim yang bertanding dalam program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).

V.E versi baharu
Bercakap tentang reformasi tersebut, Lah tumpang gembira melihat prestasi yang ditonjolkan rakan-rakan seperjuangan dalam program tersebut.
Hasil kesungguhan, V.E berjaya mara ke konsert separuh akhir yang akan berlangsung Ahad ini.
“Meskipun masing-masing masih baru sebagai sebuah kumpulan tetapi mereka sudah memberikan yang terbaik. Mereka selesa dan ada keserasian.
“Saya memerhati gerak-geri mereka sepanjang program tersebut. Sehinggakan dalam slot temu bual pun saya tengok. Jelas kelihatan keakraban mereka hasil keharmonian yang dibina,” tutur Lah.
Berkongsi lanjut, Lah mendedahkan dia pernah diajak V.E untuk tampil berduet dalam GV9 pada minggu tugasan duet.
Bagaimanapun atas faktor kepadatan jadual, dia ralat kerana tidak dapat menunaikan permintaan kumpulan itu bagi menjayakan persembahan tersebut.
Biarpun begitu, Lah sempat bertemu empat mata dengan V.E bagi memberi nasihat sebagai tanda sokongan buat rakan-rakannya.
Dalam perkembangan terkini, Lah kini menghitung hari menjelang penganjuran konsert solonya pada Januari tahun depan.
“Tahun 2000 dahulu, artis Malaysia tidak banyak yang buat konsert. Kalau nak buat, kena tumpang majlis orang.
“Sangat seronok kerana sudah lama saya membina kerjaya. Bila anak seni buat konsert selepas pandemik, ramai beri tindak balas yang positif,” ujarnya.

Konsert
Lebih mengujakan, penjualan tiket konsert 25 Years Lah Ahmad Live In Concert habis dijual kurang dari tempoh 24 jam sejak dibuka pada 29 Oktober lalu.
Justeru, Lah berbesar hati mengumumkan konsert tersebut ditambah sehari lagi atas permintaan hangat daripada peminat.
“Saya harap ramai datang berseronok dengan orang yang tersayang. Saya dimaklumkan ada pasangan yang saya nyanyi dalam majlis perkahwinan mereka mahu datang untuk menyambut ulang tahun perkahwinan,” ujarnya teruja.
Untuk menghargai peminat, Lah juga akan membawakan komposer dan penerbit muzik, Shazee Ishak untuk bersama-sama mempersembahkan lagu Kenapa yang sangat popular dalam kalangan peminat.
Menurutnya, Kenapa pernah dipersembahkan dua kali di atas pentas bersama Shazee sepanjang dilancarkan.
“Terdapat beberapa rakan artis yang akan hadir tetapi pastinya ada Bihat dan Shazee pada malam konsert.
“Saya rasa tidak puas membawakan lagu Kenapa dengan Shazee selama ini.
“Sejak lagu tersebut dilancarkan pada 2005, kami cuma berkesempatan menyanyikannya di atas pentas sebanyak dua kali,” tutur Lah dengan nada bersemangat.















