fbpx
ANTARA karya dihasilkan Ayobola Kekere-Ekun dan gambar kanan gambaran dari dekat susunan kertas yang membentuk karakter.- FOTO INSTAGRAM AYOBOLA.K

Seni kertas artistik karya wanita Nigeria, Ayobola Kekere-Ekun pikat dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI jauh, dapat dilihat susuk tubuh seorang wanita yang bergelumang dengan kepingan-kepingan kertas berwarna-warni di sekelilingnya.

Wanita Nigeria berusia 29 tahun itu dilihat sibuk menggunting kertas menjadi helaian-helaian ‘jaluran’ sebelum menyusun atau menggulungnya, lalu menampalnya pada sebuah papan (board) sehingga terbentuknya karakter manusia.

Jaluran itu yang disusun membentuk garis-garis tiga dimensi pada tubuh karakter yang terhasil umpama permainan tona dan pencahayaan.

Karya tersebut dihasilkan tanpa perlu melalui proses mewarna atau menukul, sebaliknya hanya dengan menyusun atau menggulung kepingan-kepingan kertas atau reben. Sesekali fabrik turut digunakan.

Menariknya, teknik seni yang dikenali sebagai akobi itu tidak sekadar menggabungkan kepingan kertas semata-mata, namun mampu menterjemahkan emosi dan perasaan.

Begitulah ciri artistik yang ditonjolkan seni akobi yang telah menyebabkan pengkarya bebas dari Nigeria, Ayobola Kekere-Ekun mendapat perhatian dunia.

Seni akobi yang dipertaruhkan Ayobola menjadi popular sehingga turut ditemu bual oleh agensi media berpengaruh dunia seperti CNN dan karyanya diburu artis Barat.

Karya Ayobola terpamer dari Lagos, Nigeria hingga ke Los Angeles, Amerika Syarikat.

WANITA Nigeria, Ayobola Kekere-Ekun bersama karya-karyanya yang dihasilkan menerusi teknik quilling yang sebenarnya satu teknik yang pernah dipraktikkan manusia pada abad ke-16.

Hasil karyanya juga menjadi popular kerana dikaitkan dengan fenomena digital NFT atau non-fungible token yang mengetengahkan karakter berwajah digital. Karya Ayobola sebaliknya dianggap sebagai semiautobiografi NFT.

Bagi Ayobola, dia seronok berkarya dan tidak penah terlintas hasil seninya diperkatakan hingga peringkat global.

Bermula suka-suka dengan hanya melipat-lipat risalah atau brosur yang diberi orang awam kepadanya, dari situlah Ayobola mula mendapat inspirasi untuk menghasilkan seni akobi.

“Saya melihat seni akobi yang berasaskan teknik quilling sebagai satu proses menarik yang akhirnya berjaya menyampaikan maksud tersirat.

“Saya tidak sangka karya saya diangkat serta dipamerkan hingga ke Los Angeles.

“Paling saya tidak percaya, hasil karya akobi ciptaan saya turut mendapat perhatian penghibur global ternama, Alicia Keys dan suaminya yang sudi membeli akobi yang dihasilkannya selain turut menyumbangkan geran berjumlah AS$5,000 (RM22,675),” katanya.

Gulungan kertas membentuk corak.

Ayobola yang merupakan bekas akauntan di salah sebuah firma terkenal Nigeria melihat bantuan dari segi geran yang disumbangkan penyanyi itu sebagai satu inisiatif terbaik bagi membantu golongan artis seni sepertinya untuk terus berkarya.

Meneruskan perkongsian bersama CNN baru-baru ini, Ayobola memberitahu, seni akobi yang dihasilkannya langsung tidak menggunakan sebarang cat pada permukaan kanvas atau kertas, tetapi sepenuhnya menerusi teknik penyusunan dan penggulungan kertas yang dipanggil quilling.

“Seni quilling sebenarnya telah wujud sejak ratusan tahun lalu yang mana ia sering kali dipraktikkan para biarawati Eropah sejak abad ke-16.

“Quilling ini saya sifatkan seperti sebuah teknik melukis tanpa perlu mewarna. Ramai juga yang bertanya kepada saya, adakah akobi ini satu cabang seni atau bentuk kraf?

“Bagi saya, ia sama sekali bukan kraf kerana akobi hanya merupakan salah satu bentuk tafsiran bagi menceritakan sebuah kisah yang berlaku menggunakan gabungan kertas-kertas berwarna,” katanya.

Mengenai tempoh masa yang diambil bagi menghasilkan karya, wanita itu memberitahu ia bergantung kepada saiznya.

“Paling singkat yang saya pernah siapkan hanya dua minggu. Paling lama pula pernah memakan masa sampai tujuh bulan. Apapun, masa yang diambil bergantung kepada skop dan saiz sesebuah karya tersebut,” ujarnya.

Kepingan-kepingan kertas yang disusun membentuk garis-garis 3D pada karakter yang dihasilkan bagai mewakili tona, bayang atau pencahayaan. – INSTAGRAM AYOBOLA.K

Bercakap mengenai proses penghasilannya, Ayobola berkata, sesebuah karya itu haruslah dimulakan dengan lakaran awal sebelum menjadi rangka akhir yang disifatkan sebagai ‘penjelmaan masa hadapannya’.

“Kemudian, saya akan menyusun sehelai demi sehelai kertas berwarna atau reben sehingga mengikut skop yang saya mahukan.

“Cuma, bagi akobi yang saya cipta, saya mengambil pendekatan untuk memilih wanita sebagai subjek utama, berbanding kaum lelaki,” katanya yang dibesarkan di Lagos dan kini menetap di Johannesburg, Afrika Selatan.

Pada masa sama, Ayobola juga berharap, karya seni kecilnya mampu diterima sekali gus memecah stereotaip seni negara kelahirannya, Nigeria.

“Jika dahulu, acap kali wujud persepsi yang sangat stereotaip tentang rupa seni Nigeria yang dilihat sangat kecil dan begitu terhad.

“Seni yang saya cuba bawakan pada awalnya lebih berkisar isu politik dan sosial. Namun kini, karya yang saya hasilkan berkembang dan membuatkan saya lebih bebas berkarya serta meluahkan perasaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN