fbpx

Tengku Zafrul jawab dakwaan Rafizi isu kontrak projek banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

KUALA SELANGOR – Tiada pengeluaran surat niat (LOI) atau surat penganugerahan projek (LOA) oleh Kementerian Kewangan kepada mana-mana syarikat yang melibatkan kontrak berbilion ringgit.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementerian itu hanya memberi kelulusan rundingan kepada sebuah syarikat yang berunding dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Jelas beliau, kontrak itu belum dianugerahkan dan masih tiada LOI atau LOA kecuali hanya kelulusan rundingan.

“Apabila mendapat kelulusan rundingan itu, KASA perlu berunding dengan syarikat berkenaan dan mengemukakan syor bagi proses lanjut.

“Itu bukan surat kelulusan tetapi surat memberi kebenaran kepada mereka untuk berunding dengan kementerian bertanggungjawab iaitu KASA,” katanya pada sidang akhbar di Bandar Puncak Alam di sini, malam tadi.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan satu surat yang mendakwa kerajaan cuba memberikan kontrak berbilion ringgit kepada syarikat kroni.

Surat itu didakwa melibatkan projek naik taraf loji bagi kawasan tadahan pembetungan bernilai RM285 juta di sekitar Klang.

Kata Tengku Zafrul, KASA akan membuat perbincangan dengan syarikat itu mengenai spesifikasi dan keperluan projek berkenaan yang kemudian diserahkan kepada Kementerian Kewangan.

“Selepas dipersetujui, KASA menilai sama ada syarikat itu lulus atau tidak mengenai penilaian kewangan dan teknikal.

“Proses itu melibatkan masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan,” ujarnya.

Tambah beliau, langkah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengemukakan surat tuntutan (LoD) kepada Rafizi disifatkan sebagai langkah tepat.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat tidak mudah terpedaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan pemimpin pembangkang terhadap kerajaan yang sekadar bagi meraih sokongan pengundi semata-mata.

“Jangan terpedaya dan periksa dulu dengan sumber lain. Jika betul, buat proses yang betul dan pergi berjumpa pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI