fbpx

14 PATI guna cap Imigresen palsu dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada 14 PATI warga Indonesia yang ditahan dalam operasi khas JIM di ibu negara semalam. - Foto IHSAN JIM

PUTRAJAYA – Tindakan licik sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke Malaysia dengan menggunakan cap palsu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akhirnya membawa padah apabila kesemua mereka ditahan dalam satu operasi khas di ibu negara semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi khas pada pukul 10 pagi di hentian bas Jalan Duta, Kuala Lumpur itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM susulan maklumat awam yang diterima.

“Berdasarkan maklumat diterima, terdapat sekumpulan 14 orang PATI dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di sekitar Chuping, Perlis dan akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas.

“Susulan itu, pasukan operasi telah mengesan bas yang membawa sekumpulan 14 orang PATI tersebut di lebuh raya dan bertindak mengekori sehingga ke hentian bas Jalan Duta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, sebaik tiba di hentian bas Jalan Duta, pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas penumpang bas tersebut yang membawa kepada penahanan sembilan lelaki dan lima wanita warga Indonesia berusia 15 hingga 49 tahun.

“Semakan lanjut ke atas pasport mereka mendapati ada cap keluar Imigresen Thailand dan cap masuk Imigresen Malaysia (Padang Besar) disyaki palsu dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa kononnya mereka masuk secara sah dan melalui pemeriksaan imigresen.

“Lapan daripada mereka kemudiannya dikesan memiliki rekod senarai hitam daripada memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau manakala selebihnya tidak memiliki sebarang rekod kemasukan,” ujar beliau.

Jelas beliau, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membawa PATI menaiki pesawat dari Indonesia ke Thailand sebelum masuk ke Malaysia melalui laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand dengan berjalan kaki.

“Kemudian mereka akan menaiki kenderaan ke lokasi yang ditetapkan untuk menaiki bas menuju ke Kuala Lumpur.

“Kesemua PATI tersebut mengaku membayar sehingga RM6,000 kepada ejen di negara mereka untuk urusan kemasukan ke negara ini selain tidak membuat pemeriksaan imigresen semasa masuk dan hanya ejen yang menguruskan pasport mereka semasa berada di rumah penampungan,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati tujuan PATI berkenaan datang ke Malaysia adalah untuk bekerja semula di tempat lama mereka bekerja di sekitar Kuala Lumpur atau bekerja dengan majikan baharu yang telah diatur lebih awal.

“Kesemua yang diperiksa telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

“Mereka kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah akta yang sama,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI