JARI-JEMARI wanita bertubuh genit yang sedang memegang gunting ini begitu ligat ‘menari-nari’ pada rambut salah seorang pelanggannya. Selang beberapa minit, rambut tersebut siap dipotong kemas seperti yang diinginkan.
Wanita yang dikenali sebagai Rubiah itu bekerja di spa dan salon rambut, Penjara Wanita Kajang, Selangor sejak enam bulan lalu.
Rutin harian yang dilakukan itu bagi mengisi sisa waktunya ketika menjadi penghuni tirai besi.
Biarpun terletak di sebalik tembok penjara, namun spa dan salon rambut itu tiada bezanya dengan spa-spa komersial di luar sana.
Malah, semua penghuni yang bekerja di dalam spa itu terlatih dan mempunyai sijil kemahiran profesional yang sah.
Dihumban ke dalam penjara angkara kesilapannya sendiri akibat terjerumus dengan dadah selepas berpisah dengan suami tercinta, namun Rubiah tidak sangka dia mampu menimba kemahiran baru sepanjang menjalani tempoh hukuman.
“Saya tidak mempunyai sebarang kemahiran dalam bidang spa kerana sebelum ini hanya melakukan kerja-kerja di dapur sebuah restoran makanan segera.
“Disebabkan terikut-ikut dengan rakan sekerja, akhirnya saya tersalah pilih jalan sebelum dihumban masuk ke dalam penjara ini.
“Pada awalnya, saya menyangka kehidupan sudah berakhir selepas masuk ke sini, tetapi tidak sangka kehidupan saya bertambah baik dan berjaya mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Bahkan, saya diasah dengan kemahiran baharu iaitu terapi kecantikan,” katanya kepada K2.
Biarpun mengakui agak kekok dan tidak biasa dengan kerja-kerja ‘perempuan’, namun berbekalkan tunjuk ajar dan sokongan daripada guru-guru serta pegawai di penjara, Rubiah mampu memahirkan diri dalam bidang tersebut.

Berbaki kurang setahun menjalani hukuman di sana, ibu kepada dua orang cahaya mata itu mula melihat sinar di hujung terowong dengan mengimpikan untuk membuka sebuah salon kecantikan pada suatu hari nanti.
Meskipun beroperasi di dalam bangunan penjara, namun spa tersebut mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat. Bahkan ada yang menjadi pelanggan setia di sini.
Penyelia spa dan salon di Penjara Wanita Kajang, Sarjan Maizatul Azura Idris berkata, banduan dapat mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran tambahan sebelum mereka dibebaskan daripada pusat tersebut kelak.
Selain spa, beberapa modul lain turut diwujudkan bagi meningkatkan kemahiran para penghuni seperti kursus jahitan, bakeri dan pastri, kraf tangan serta lain-lain lagi.
“Objektif utama spa ini pada awalnya adalah untuk memberi latihan kepada penghuni menerusi Sistem Latihan Dual Nasional.
“Ia bagi memastikan mereka mempunyai sijil kemahiran dan boleh menjalani hidup secara berdikari apabila keluar penjara serta tidak mengulangi kesalahan terdahulu.
“Spa ini dibuka pada tahun 2018. Pada awal pembukaannya, pusat ini hanya beroperasi di dalam penjara yang memberi khidmat kepada kakitangan.
“Memikirkan rasa rugi sekiranya kemahiran dimiliki penghuni tidak dipraktikkan serta atas dasar mahu memberi peluang kepada mereka menjana pendapatan, kami membuka spa dan salon ini kepada orang awam,” ujarnya.
Menawarkan dua perkhidmatan iaitu salon rambut dan spa kecantikan, premis berkenaan menawarkan pelbagai rawatan pada harga lebih rendah daripada spa-spa lain di luar sana.
Antara rawatan yang ditawarkan adalah seperti urutan, skrab, urutan wajah, resdung, refleksologi, sauna, bertungku serta khidmat menggunting, mewarna dan meluruskan rambut.
Kongsinya lanjut, rawatan yang paling mendapat sambutan pelanggan adalah urutan muka dan rawatan meluruskan rambut.
Beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 3.30 petang, spa tersebut diusahakan oleh empat orang penghuni sambil dikawal rapi oleh pegawai penjara bertugas.
“Harga perkhidmatan bermula RM30. Sudah namanya bekerja, setiap penghuni yang berkhidmat di spa ini akan dibayar dengan upah secara harian.
“Wang ini akan dikumpul dan disimpan oleh pihak penjara, sebelum diberikan kepada mereka apabila dibebaskan kelak.
“Bagaimanapun, penghuni boleh menggunakan satu pertiga daripada wang dimiliki untuk membeli keperluan ketika di penjara,” jelasnya.
Menyentuh mengenai aspek keselamatan pula, Maizatul Azura berkata, tidak dinafikan ada segelintir masyarakat yang was-was tentang keselamatan mereka sepanjang menerima rawatan di spa tersebut.

Katanya, pelanggan seharusnya tidak perlu bimbang kerana setiap penghuni yang bekerja di spa tersebut telah ditapis terlebih dahulu.
“Hanya banduan yang sedang menjalani tempoh hukuman singkat dan tidak mendatangkan risiko akan dipilih bekerja di spa ini.
“Ia sebagai jaminan keselamatan kepada orang awam yang mendapatkan khidmat terbabit.
“Setiap tahanan dikawal rapi oleh warden sepanjang tempoh bersama pelanggan bagi mengelak sebarang kemungkinan yang tidak diingini,” tambahnya.
Ujar Maizatul Azura, kebanyakan mereka yang mendalami kemahiran tersebut terdiri daripada pesalah yang dihukum atas kesalahan pecah amanah dan penyalahgunaan dadah.
Bukan biasa-biasa, semua penghuni berkenaan memiliki sijil kemahiran dan dilatih selama 16 bulan oleh syarikat yang menjalankan usahasama dengan Penjara Wanita Kajang.
Ia bagi memastikan rawatan yang diberikan kepada pelanggan mempunyai kualiti sama seperti ditawarkan di spa-spa lain di luar sana.

Menurut jurulatihnya, Sarjan Saliza Abdul Ghafar, sejak latihan tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2008, sebanyak lima sesi pengambilan telah dilakukan.
“Setiap sesi latihan bukan sahaja tertumpu kepada penghuni, tetapi turut memberi peluang buat pegawai penjara yang berminat.
“Pada sesi kelima tahun ini, seramai 25 orang menjalani latihan merangkumi tiga tahap pembelajaran.
“Sepanjang program ini berlangsung, kami dapat melihat minat yang mendalam dalam kalangan penghuni dan mereka begitu teruja untuk mempelajari kemahiran tatarias ini.
“Disebabkan sambutan yang diterima begitu menggalakkan, hanya penghuni berumur kurang daripada 50 tahun sahaja yang dipilih menjalani latihan ini,” ujarnya.
Semua penghuni dibekalkan dengan sijil kemahiran profesional bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan apabila dibebaskan kelak.
“Kami berharap agar kemahiran yang diperoleh ini mampu mendatangkan hasil kepada mereka apabila menjalani hidup berdikari selepas keluar penjara nanti.
“Jika tidak membuka kedai kecantikan, mereka boleh memanfaatkan kemahiran dimiliki untuk menjalankan perkhidmatan spa di rumah atau mobile spa,” ujarnya menutup bicara.














