fbpx
MARSHA MILAN

Menang AJL36, Marsha Milan jadi ‘overthink’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KERJAYA seninya bergerak atas tempo yang sedikit perlahan atau disebut ‘slow burn’ sehinggalah mencuri perhatian satu Malaya apabila dinobatkan Naib Juara dan Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) menerusi karya indah berjudul Cinta.

Mengakui situasi agak vakum, pemilik nama lengkap Marsha Milan Londoh bagaimanapun sangat bersyukur kelibatnya dalam industri semakin kian diperakui selepas 17 tahun bertingkah dengan sepak terajang tersendiri.

Kata Marsha, 37, dia percaya dengan ketentuan rezeki dan kerja keras dalam melestarikan kerjaya seorang bernama anak seni.

“Saya kerja keras untuk berada pada tahap sekarang. Cipta sensasi atau publisiti murahan tiada dalam kamus seni saya.

“Saya sudah berada pada tahap kerjaya hanya nak orang sedar bakat yang Tuhan kurniakan kepada saya.

“Sudah 17 tahun dalam industri dan dah banyak benda yang saya lalui sejak zaman Akademi Fantasia lagi. Takkanlah pada usia sekarang, saya nak terjebak dengan perihal yang tidak wajar (buat kontroversi) semata-mata nak perhatian,” tuturnya kepada Pose pada sesi fotografi di Studio Media Mulia, baru-baru ini.

BIARPUN belum dikurniakan rezeki cahaya mata selepas tujuh tahun berkahwin, kekosongan tersebut diisi dengan rezeki menjaga adik ibu mertuanya yang menghidap sindrom Down, Hasnia, 48.

Ranggi menggayakan koleksi busana jenama mewah, Coach hasil sentuhan idea tatarias, R.D Idewani Zaini, Marsha juga memilih untuk tidak menghakimi pilihan segelintir artis yang gemar ‘bermain’ sensasi demi melazimkan nama di bibir peminat.

“Sebenarnya, saya malas fikir kalau orang cakap kerjaya seni saya hanya bertahan begitu sahaja.

“Sebab, saya memang tiada nak cipta sensasi. Saya geli dengan benda-benda yang sengaja dicipta untuk tujuan publisiti. Saya ada bakat dan itu yang nak ditonjolkan kepada peminat.

“Sungguhpun begitu, itu terpulang kepada diri masing-masing. Bagi saya, zaman itu sudah lama berlalu waktu saya berusia 20-an dahulu.

“Sekarang saya ada suami dan keluarga. Saya tidak mahu buat perkara mengarut,” terangnya penuh positif.

Kini muncul dengan single berjudul Kembali Terang, Marsha berharap untuk sekali lagi menjejakkan kaki di pentas berprestij AJL.

Beban menang AJL36

Selepas kejayaan lagu Cinta, Marsha sebenarnya berdepan tekanan yang sedikit sebanyak memberi impak negatif terhadap kesihatan mentalnya.

“Saya tak boleh bohong lepas menang tempat kedua AJL36, terasa macam ada beban yang sangat berat di bahu dan kepala.

“Saya jadi orang yang terlalu ‘overthink’ (fikir melebih-lebih). Fasa itu berlarutan sampai empat lima bulan selepas AJL hinggakan kadang-kadang saya menangis tanpa sebab.

“Entahlah, saya pun tak tahu tapi saya bimbang apa nak dilakukan selepas lagu Cinta diminati ramai.

“Saya macam tak tahu apa lagi nak dikerjakan selepas ini,” ulasnya seraya mendedahkan berdepan masalah kotak suara akibat dua kali dijangkiti Covid-19.

MARSHA bersedia mempertimbangkan ikhtiar mengambil anak angkat dan menjalani rawatan IVF sekiranya masih belum dikurniakan rezeki cahaya mata.

Bagaimanapun, sepupu kepada penyanyi Linda Nanuwil itu mengatakan bahawa semuanya kini kembali baik-baik sahaja. Kerjaya seni, baik nyanyian mahupun lakonan diteruskan seperti biasa.

“Paru-paru saya ada infeksi disebabkan Covid-19. Selepas AJL36, saya hilang suara hampir dua bulan.

“Sebab itu, saya macam alami depresi. Saya takut dan fikir, boleh atau tidak saya nyanyi lagi selepas ini.

“Saya dah ‘jahanamkan’ suara masa bertanding dalam AJL36 sebab waktu itu, saya hanya fikir nak buat yang terbaik untuk semua orang.

“Kotak suara saya juga bermasalah. Bila pergi buat pemeriksaan, ada luka bukan sebab saya nyanyi melebih-lebih tetapi sebab batuk yang tidak henti-henti pasca Covid-19,” ungkap isteri kepada usahawan, Mohamed Shaiful Nizam Ismail itu.

Pertimbang anak angkat, IVF

Rancak melantunkan bicara, perbualan teralih ke sisi lain. Dia tenang saat perihal zuriat mengisi bicara.

Tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan, Marsha juga seperti isteri lain yang memasang impian bergelar ibu.

“Sudah tujuh kahwin. Siapa yang tak nak anak? Saya fikir begini, kalau tak dapat (anak) juga, saya mungkin pertimbangkan untuk ambil anak angkat.

“Kalau itu sahaja peluang saya untuk merasa menjadi seorang ibu, saya sanggup.

“Bohonglah kalau rasa tiada rasa nak timang anak sendiri tapi rezeki memang belum ada. Saya pun nak sangat tengok ‘the mini me’ (anak).

“Alhamdulillah, suami pun sejenis yang sangat memahami. Saya akan bincang dengan dia apa langkah patut diambil selepas ini,” ujarnya.

TUJUH tahun bergelar mualaf, Marsha banyak mendekatkan diri dengan agama semasa pandemik, termasuk belajar mengenal huruf Arab dan kini sudah pandai membaca al-Quran.

Marsha juga sanggup menjalani rawatan Persenyawaan in Vitro (IVF) menjadi jalan terbaik.

“Nak buat IVF kena sedia mental dan fizikal. Saya tahu proses tersebut sangat menyakitkan tapi tunggulah andai semuanya sudah bersedia.

“Sekarang, saya dan suami sibuk dengan kerjaya masing-masing tetapi insya-Allah, kita ikhtiar sama-sama nanti,” katanya menoktahkan bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN