fbpx

Indonesia-Malaysia-Thailand fokus 3 isu utama pulih ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOKOWI menghadiri persidangan IMT-GT di luar di luar Sidang Kemuncak Asean di Phnom Penh, Kemboja. - Biro Akhbar Sekretariat Presiden

JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengemukakan tiga fokus utama bagi mempercepat pemulihan ekonomi di Indonesia, Malaysia dan Thailand, lapor saluran berita Liputan6 kelmarin. 

Jokowi berucap semasa Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) di luar Sidang Kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Kemboja, Khamis lalu.

Menurut Jokowi, fokus pertama adalah pemulihan sektor pelancongan sub-serantau yang perlu dilakukan segera selepas merundum secara drastik pada kadar melebihi 90 peratus dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. 

“Kaedah baharu perlu dijalankan melalui pecutan teknologi digital dalam pemasaran, pembangunan pelancongan berdaya tahan dan mampan serta pelancaran inisiatif Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025,” kata Jokowi.

Beliau turut menggalakkan pelancongan halal dibangunkan sebagai sebahagian daripada sasaran untuk menjadi hab halal global dengan nilai pasaran AS$7 trilion (RM32.9 trilion) menjelang 2030.

Fokus kedua adalah mempercepat pembangunan infrastruktur fizikal dan sumber manusia di mana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan dan saling melengkapi.

“Ini selaras dengan keutamaan Indonesia untuk menambah baik infrastruktur dan sumber manusia. Pembangunan infrastruktur fizikal seperti pelabuhan, lapangan terbang, jalan tol termasuk Trans-Sumatera perlu dilakukan. 

“Dalam hal ini, kita mesti fokus untuk menambah baik kesalinghubungan enam koridor ekonomi termasuk pelaksanaan kapal RoRo Dumai-Melaka,” jelasnya.

Jokowi selain itu turut menggalakkan pembangunan sumber manusia melalui kerjasama pendidikan Rangkaian Universiti IMT-GT sebagai pusat penyelidikan dan inovasi serantau.

Perkara ketiga adalah mewujudkan ekonomi sub-serantau yang hijau dan mampan dengan ekonomi hijau disasar menjadi masa depan ekonomi Asean. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI