fbpx
Gambar dari udara menunjukkan bandar Kherson di tengah-tengah operasi ketenteraan Russia yang berterusan di Ukraine pada 20 Mei lalu. - AFP

Russia perlu seminggu undur tentera dari Kherson – Kiev

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIEV – Menteri pertahanan, Oleksii Reznikov memaklumkan bahawa Russia akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk mengundurkan tentera dari bandar Kherson, selatan Ukraine, lapor laman berita Wion News kelmarin. 

Musim sejuk juga katanya, akan melambatkan operasi di medan perang dan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk ‘rehat dan rawat’.

Dalam satu temu bual di Kiev, Reznikov memberitahu, Russia mempunyai 40,000 askar di Kherson dan pegawai perisikan mendedahkan bahawa pasukan tentera itu kekal di bandar tersebut, kawasan sekitarnya serta tebing sebelah barat Sungai Dnipro.

“Bukan semudah itu untuk mengundurkan tentera dari Kherson lebih-lebih lagi dalam masa satu atau dua hari. Pe­ngunduran tentera Russia akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu minggu,” kata Reznikov.

Russia pada Rabu lalu berkata, tenteranya akan berundur dari tebing barat Sungai Dnipro, termasuk Kherson. Bandar itu merupakan satu-satunya ibu negeri wilayah yang ditawan Moscow sejak tentera Kremlin menyerang Ukraine pada Februari lalu.

Reznikov berkata, langkah Russia itu akan membebaskan pasukan tentera kedua-dua belah pihak untuk berperang di tempat lain. 

Ukraine, katanya, mempunyai pasukan keselamatan dan seramai 1 juta anggota untuk mengawal sempadan 2,500 kilometer (km) dengan Belarus, Russia dan wilayah Ukraine yang dirampas Moscow.

Kemungkinan Russia meletupkan Empangan Kakhovka ketika berundur juga tidak munasabah kerana berisiko mengorbankan askarnya sendiri.

“Jika anda menyemak landskap daerah ini, anda akan lihat bentuk muka bumi tebing barat adalah lebih tinggi berbanding tebing timur.

“Ini bermakna air akan melimpah ke timur dan mereka (Russia) akan merisikokan tenteranya,” kata Reznikov. – Agensi

POPULAR