SEBERANG PERAI – Kestabilan politik negara amat penting bagi mempersiapkan Malaysia dalam menghadapi kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka berlaku pada tahun depan.
Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa bagaimanapun berkata, kestabilan ekonomi yang didambakan terletak pada tangan para pengundi yang bertanggungjawab memilih kerajaan sekali gus menentukan hala tuju negara.
Menurutnya, rakyat bakal berdepan kesusahan sekiranya kerajaan tidak stabil, ditambah dengan bencana ekonomi yang dijangka berlaku tahun hadapan.
“Bukan itu sahaja, kadar inflasi yang tinggi dan nilai ringgit yang semakin lemah akan memberi kesan kepada kita semua.
“Negara lain sudah beri amaran kepada rakyat mereka malah telah bersedia untuk berdepan dengan kemelesetan ekonomi sedangkan Malaysia masih tidak mula lagi sebab kena stabilkan politik kita dahulu.
“Kalau mahu selamat, kita kena ada kestabilan politik yang bakal ditentukan rakyat demi membentuk masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ceramah calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri R S Thanenthiran di Dataran Perda Sungai Acheh di sini malam tadi.
Terdahulu, Nooryana Najwa mengadakan lawatan ke Pulau Pinang selama dua hari untuk berkempen bagi membantu kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Nooryana Najwa berkata, Thanenthiran yang juga rakan karib bapanya adalah calon terbaik untuk mewakili suara penduduk Nibong Tebal.
“’Uncle (Thanenthiran) mempunyai banyak perancangan antaranya membina hab kejuruteraan, hospital dan menyelesaikan isu air di sini.
“Kelebihan ‘uncle’ juga ialah beliau akan cepat jawab mesej ‘WhatsApp’ sekali gus membuktikan apa juga masalah mesti beliau dapat selesaikan dengan pantas,” katanya.
Parlimen Nibong Tebal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Thanenthiran, Datuk Mansor Othman (PN) , Fadhlina Sidek (PH) dan Goh Kheng Huat (Bebas).
Pada PRU14, kerusi Parlimen Nibong Tebal dimenangi Mansor yang ketika itu bertanding atas tiket PKR dengan undi sebanyak 35,395 menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) yang mendapat 19,578 undi manakala Mohd. Helmi Harun (Pas) memperoleh 6,875 undi. – KOSMO! ONLINE














