TERSENARAI sebagai antara aktor terbaik sinema tanah air, Beto Kusyairy tidak bersetuju andainya kesanggupan atau kemampuan melakukan aksi lagak ngeri menjadi kayu ukur pelakon sejati.
Pemilik nama sebenar Nur Kusyairy Zakuan Osman, 42, berkata, lagak ngeri bagi sesebuah babak merupakan pilihan pelakon sendiri, sama ada untuk diteruskan atau memerlukan bantuan daripada pasukan profesional yang disediakan.
“Saya pernah memuat naik hantaran video dalam Instagram yang sedang membuat aksi, ramai cakap ini pelakon sebenar, tetapi bagi saya ini bukan penanda aras untuk seseorang dilabel sebagai penggiat seni sebenar.
“Saya sendiri meminta untuk lakukan babak aksi atas dasar kepercayaan pada ‘team’ dan diri sendiri,” ujar pelakon Istanbul Au Datang! itu.
Sebagai pelakon yang sudah melakukan babak aksi dari dahulu lagi, Beto gembira dapat merealisasikan salah satu impiannya untuk melakukan aksi membakar diri.

“Dalam naskhah telefilem istimewa kali ini, saya percayakan pasukan yang mengendalikan lagak aksi, saya rasa lagi seronok kalau watak itu sendiri melalui pengalaman babak tersebut.
“Dari sudut kepuasan sebagai pelakon, pada zaman saya masih buat babak aksi, impian saya adalah untuk melakukan ‘human torch’ (bakar diri).
“Akhirnya tercapai juga dengan kerjasama pasukan yang saya percaya,” katanya sewaktu tayangan media Halimun di GSC One Utama, baru-baru ini.
Menurut Beto, pihak produksi mulanya ragu-ragu dan risaukan keselamatan untuk meneruskan babak aksi atas permintaannya itu.
Namun, Beto tetap berkeras untuk melakukan aksi tersebut demi kepuasan diri dan keadilan buat watak yang dijayakannya.
“Saya sendiri yang beritahu pihak produksi untuk melakukan babak aksi itu, walaupun pada awalnya mereka risau.
“Namun saya berjaya menyakinkan pihak produksi untuk tidak akan menyusahkan mereka kerana masih ada penggambaran melibatkan dirinya selain babak tersebut.
“Akhirnya, nak atau tidak mereka kena percaya dengan saya,” ujarnya.
Lebih dramatik, aksi ‘berani mati’ yang dijayakan Beto hanya dilakukan dengan sekali ‘cut’ tanpa latihan awal dan sekadar sedikit kursus intensif semasa hari penggambaran.
Biarpun telah melakukan persediaan dari aspek keselamatan, Beto mengambil pendekatan untuk merahsiakan perancangan membakar diri selama 30 saat itu daripada pengetahuan isteri. Dia bimbang isterinya tidak senang hati sepanjang hari penggambaran berlangsung.

Rahsiakan daripada isteri
“Isteri memang tidak tahu. Selepas habis buat, Nabila Huda memuat naik dalam media sosial, kemudian barulah saya maklumkan kepada isteri.
“Saya pesan kepadanya kalau sudah tengok video tersebut, jangan risaukan keadaan saya dan saya selamat.
“Saya tidak memberitahunya untuk menyenangkan hatinya. Kalau beritahu awal saya tahu dia susah hati, jadi saya susah untuk fokus,” katanya.
Tambah Beto, keputusan untuk melakukan babak aksi mencabar diri itu dibuat pada hari sama penggambaran.
Kata putus untuk melakukan babak aksi itu dibuat selepas mengetahui siapa pasukan yang akan mengendalikan penggambaran pada hari kejadian.

Beto juga meluahkan rasa seronok bersama dengan pasukan Azura Pictures disifatkan sangat profesional semasa bekerja.
“Saya sebenarnya tidak tahu team aksi yang bertugas, bila sudah tahu saya lebih berkeyakinan untuk melakukannya sebab sudah biasa bekerja dengan mereka.
“Bagi saya, team ini sangat seronok untuk bekerjasama. Perkara yang paling praktikal dengan Azura Pictures ini mereka memberikan banyak masa untuk kita berkarya dari sudut visual.
“Mereka juga tidak menyusun berbelas-belas babak dalam satu hari,” ujarnya.
Selain Beto, telefilem Halimun kini boleh ditonton menerusi Astro First bermula 5 November dengan penampilan Nabila Huda, Kodi Rasheed dan ramai lagi.

dengan sebuah naskhah
filem televisyen berjudul Halimun yang disiarkan menerusi Astro First.














