fbpx

Belinjo Gold Rohani tembusi pasaran Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI ROHANI berhasrat menjadi usahawan kerepek belinjau nombor satu negara dan mengeksport produk ke luar negara.

BATU PAHAT –‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Itulah semangat kental seorang sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang pada awalnya berniaga kerepek pisang di pasar malam sebelum bergelar usahawan berjaya.

Ibu tunggal, Siti Rohani Sadikun, 58, berkata, dia memperkenalkan makanan ringan berasaskan kerepek belinjau iaitu Belinjo Gold menerusi Syarikat Belinjo Gold Global pada Ogos 2020.

Menurutnya, keistimewaan kerepek Belinjo Gold adalah gabungan bahan utamanya iaitu buah belinjau, bawang putih, halia, garam dan gula.

“Belinjau memang berkhasiat termasuk mengandungi agen antioksida dan apabila diolah bersama bahan tadi, ia menjadi kurang pahit berbanding kerepek belinjau asli serta lebih enak.

“Ada pelanggan yang mengakui sebelum ini tidak menggemari kerepek belinjau kerana terlalu pahit, namun kini mereka menggemari Belinjo Gold,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Rohani berkata, dia bersyukur kerana tiga cahaya matanya sentiasa memberi semangat kepadanya dalam membantu memajukan perniagaan.

Berkongsi kisah perniagaannya, pada awalnya dia menjual kerepek pisang di pasar malam, namun berdepan kesulitan bagi mendapatkan bekalan bahan mentah secara konsisten dan pemprosesannya juga rumit.

“Saya dan ahli keluarga membuat keputusan memperkenalkan produk sampingan iaitu kerepek belinjau kurang pahit ini dan menerima sambutan luar biasa hingga kami berjaya mengembangkan perniagaan dan membuka perusahaan ini.

“Kami sentiasa berusaha menambah baik produk termasuk daripada segi pembungkusan dan orang ramai boleh mendapatkan produk yang dibungkus dalam balang, kotak serta plastik mengikut kesesuaian masing-masing,” jelasnya yang memiliki pelanggan tetap termasuk dari Singapura, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Siti Rohani berkata, syarikatnya dapat menghasilkan 6,000 balang setiap bulan dan menyasarkan nilai jualan RM1 juta tahun ini.

Tambahnya, sepanjang berkecimpung dalam bidang perniagaan, AIM sentiasa memberi motivasi selain menawarkan kemudahan pinjaman.

“AIM membolehkan golongan seperti kami menaik taraf kehidupan dan menjadi landasan terbaik membantu masyarakat miskin memulakan perniagaan kecil-kecilan,” katanya.

Belinjo Gold boleh dibeli di kilang syarikat di Lot 15-19, Block C Kompleks Premis Usahawan SME Bank, Batu Pahat mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang atau menerusi Shopee dan laman web www.clickjom.info/belinjogold.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI