fbpx

Rapid Rail masih siasat punca gangguan komponen elektronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pengendali tren Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid Rail masih sedang mengenal pasti punca gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC pada perkhidmatannya di Laluan Kelana Jaya.

Rapid Rail dalam satu kenyataan berkata, masalah yang sedang berlaku itu adalah sesuatu yang serius dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Gangguan tersebut mengakibatkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren sekali gus menyebabkan tren tidak dapat beroperasi secara automatik di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park.

“Pihak Rapid Rail dibantu oleh satu pasukan khas pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group dari Toronto, Kanada bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. Ini merangkumi ujian-ujian ke atas peranti dan perisian sedia ada,” katanya di sini hari ini.

Selain itu katanya, mengambil kira faktor keselamatan penumpang dan masa diambil untuk mengenalpasti punca gangguan dan sesi ujian, perkhidmatan di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park digantung selama tujuh hari bermula pukul 6 pagi tadi.

“Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen LRT Gombak ke Stesen LRT Damai serta dari Stesen LRT Lembah Subang ke Stesen LRT Putra Heights.

“Dalam pada itu juga, semua perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan menamatkan operasi lebih awal iaitu pada pukul 11 malam bagi memberi lebih masa kepada pasukan kejuruteraan untuk melaksanakan kerja rektifikasi dan baik pulih,” ujarnya.

Tambahnya, pihak Rapid Rail akan berusaha untuk menyelesaikan masalah rumit itu dalam masa tersingkat.

“Perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan bagi menampung penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen yang terjejas.

“Segala kesulitan ekoran kejadian adalah amat dikesali. Untuk perkembangan status perkhidmatan terkini serta maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas perantara, sila rujuk kepada saluran media sosial Rapid KL dan juga aplikasi PULSE,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI