fbpx

Biadab kalau tegur fizikal orang – Uyaina Arshad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEDAR berat badannya bertambah selepas hamil dan melahirkan anak tetapi pesan Uyaina, jangan sesekali menegur perubahan fizikal orang lain kerana perbuatan tersebut biadab.

PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad menyentuh tentang adab menegur seseorang lebih-lebih lagi jika membabitkan fizikal tidak kiralah berkaitan berat badan, ketinggian atau warna kulit.

Perkara tersebut disuarakan pemilik nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 29, itu selepas menerima soalan berbaur sensitif daripada seorang individu bertanya tentang fizikalnya yang semakin berisi.

“Ya, berat badan saya naik. Awak tak perlu beritahu saya. Saya tahu. Saya juga berusaha turunkan berat badan. Tetapi saya selalu rasa biadab kalau kita tegur fizikal seseorang.

“Jangan menabur garam pada luka. Semua orang sedang berdepan kesulitan yang anda tak tahu. Perkara yang perlu anda lakukan ada bersikap baik. Selalu bersikap baik,” katanya.

Jelas isteri kepada penyanyi Raja Syahiran itu lagi, perubahan fizikalnya berlaku selepas dua bulan melahirkan anak sulungnya, Raja Urhan pada 8 September lalu.

Bagaimanapun, pengalaman indah dan cukup bermakna ketika melahirkan anaknya takkan mampu digantikan dengan semua yang ada di dunia ini.

“Badan saya lalui pelbagai perubahan sepanjang fasa kehamilan dan sekarang selepas melahirkan.

“Melahirkan anak merupakan satu perjalanan cukup indah, saya takkan gantikan dengan apa pun yang ada di dunia ini termasuk perubahan yang berlaku pada tubuh badan saya,” ujarnya lagi.

Mahu menyebarkan aura positif, Uyaina pada masa sama turut menitipkan pesanan dan kata-kata semangat buat para ibu di luar sana agar menyayangi tubuh badan sendiri.

Malah perkongsian pengacara itu menerima reaksi daripada ramai rakan selebriti dan peminat yang menyatakan sokongan terhadapnya agar tidak mempedulikan kata-kata negatif.

“Jangan terasa hati okey. Badan kita semua tak sama. Paling penting kesihatan. Ada saja yang kurus tapi kolesterol tinggi. Ada berisi tapi stamina hebat.

“Cita rasa setiap manusia itu berbeza. Makan pun ada suka pedas dan sebaliknya. Paling penting suami sokong kita. Tiada sesiapa berada di tempat kita. Gembira selalu tau,” titip pelakon Ozlynn Wati.

Uyaina menimang cahaya mata sulungnya iaitu bayi lelaki, Raja Urhan pada 8 September lalu di sebuah hospital di ibu negara yang dilahirkan secara pembedahan.

Pelakon drama Kau Cipta Kasih itu berkahwin dengan Raja Syahiran pada 21 Disember tahun lalu di ibu negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI