fbpx

Siasat dakwaan pelajar kena melutut semasa perhimpunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Radzi.

SEBERANG PERAI – Polis menyiasat dakwaan seorang pelajar tingkatan satu yang didenda melutut sambil mengangkat tangan semasa perhimpunan di sebuah sekolah menengah di Tasek Gelugor, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati pengadu baharu bertukar ke sekolah berkenaan pada Oktober lalu.

“Kita telah mendapatkan keterangan saksi daripada beberapa pelajar serta guru berbangsa Melayu dan India yang menyatakan tidak nampak pengadu didenda melutut semasa perhimpunan berlangsung.

“Saksi juga nampak tali suci berwarna merah pada tangan pengadu dan tanda dahinya juga masih ada selepas tamat waktu persekolahan,” katanya kepada pemberita di sini lewat malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata seorang guru wanita tampil membuat laporan polis malam tadi (3 November) bagi menafikan semua dakwaan yang dibuat pelajar terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar membabitkan kes penghinaan terhadap agama kerana ini boleh menjejaskan keharmonian antara kaum.

“Kita amat memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, beberapa portal berita melaporkan seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Tasek Gelugor didakwa didenda melutut sambil mengangkat tangan di atas jalan tar ketika perhimpunan apabila didapati memakai kasut berpelekat.

Pelajar itu turut mendakwa guru terbabit memotong tali suci pada tangannya selain disuruh membuang titik hitam (pottu) dan tanda putih (vibuthi) pada dahi.

Pengadu kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada bapanya dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI