fbpx

PRU15: Tuan Ibrahim MB Pahang jika PN menang – tanding di DUN Cheka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUDIN Abdullah (tengah) bersama calon PN DUN Beserah dan DUN Semambu serta penyokong parti itu pada majlis pengenalan calon Parlimen Indera Mahkota di Kuantan malam semalam.

KUANTAN – Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dikatakan bakal dicalonkan menjadi Menteri Besar Pahang sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya memerintah negeri Pahang.

Laluan diberikan PN kepada Tuan Ibrahim yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian sebagai Menteri Besar Pahang semakin jelas apabila beliau dipilih bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka di Lipis.

Kawasan majoriti Melayu itu dikatakan dapat memberikan laluan mudah kepada Tuan Ibrahim yang dikenali penduduk di situ kerana berasal daripada Kampung Batu Balai Jerantut bersempadan kawasan DUN Cheka.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, DUN Cheka dimenangi calon Barisan Nasional daripada MCA iaitu Lee Ah Wong dengan mendapat majoriti 202 undi.

Dalam pertembungan tiga penjuru itu Ah Wong mendapat 3,475 undi manakala calon Pas, Salahudin Endol (3,273 undi) dan calon PKR, Rasid Muhamad mendapat 2,930 undi.

Dengan jumlah kerusi DUN ditandingi Pas dalam PN yang lebih besar iaitu sebanyak 24 kerusi berbanding Bersatu sebanyak 13 kerusi dan Gerakan sebanyak lima kerusi memperlihatkan calon Menteri Besar lebih terarah kepada parti itu.

Dalam pada itu Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifudin Abdullah berkata, calon Menteri Besar biasanya akan dipilih daripada parti yang mampu memenangi banyak kerusi DUN dalam pilihan raya umum.

“Kita sudah ada calon Menteri Besar Pahang dan tentunya bukan saya sebagai Pengerusi PN Pahang, itulah cantiknya PN, saya pengerusi parti, Bersatu tidak tanding paling banyak kerusi dan saya bukan calon Menteri Besar.

“Siapa yang jadi calon Menteri Besar kita akan umumkan apabila sampai masanya,”katanya pada majlis pengenalan calon Parlimen Indera Mahkota dan DUN Beserah dan DUN Semambu di Dewan Atabara di sini malam semalam.

Pada majlis itu Saifudin akan mempertahankan kerusi Indera Mahkota dan Andansura Rabu mempertahankan kerusi DUN Beserah manakala bagi kerusi DUN Semambu PN meletakkan calon baharu iaitu Zulfadli Zakariah. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI