fbpx
ADRIAN bersama koleksi anak patungnya yang mengenakan pelbagai busana tradisional dalam satu pameran yang turut menampilkan barangan-barangan antik.

K2

Keunikan patung busana tradisional tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Selepas busana sari berwarna biru terang itu siap dijahit, Adrian Ong, 62, kemudian memakaikannya pada satu anak patung perempuan yang ada di sisinya.

Di bahagian kepala patung itu pula, hiasan bunga berwarna merah jambu disemat pada rambutnya yang lengkap bersanggul, sebelum penampilan patung tersebut diserlahkan dengan menambah aksesori gelang dan rantai mutiara.

Mesra disapa sebagai Adrian, skil jahitan yang dimilikinya telah menjadikan anak kelahiran Kampung Lapan, Melaka itu dipercayai satu-satunya lelaki Tionghoa di negara ini yang cukup mahir menghasilkan busana tradisional pelbagai kaum untuk anak patung.

Jika diamati, hasil kerja Adrian cukup kemas dan teliti, menjadikan setiap patungnya diburu oleh mereka yang sukakan elemen yang unik.

Menurut Adrian, minatnya terhadap rekaan pakaian pada patung bermula lama dahulu ketika dia bergelar seorang pereka fesyen.

“Sebelum ini, saya merupakan seorang pereka fesyen yang menghasilkan banyak busana pengantin dan apabila saya buat sesuatu busana, maka akan ada lebihan kain atau kain perca daripada pakaian-pakaian itu.

“Saya sering terfikir apa yang boleh saya buat dengan kain-kain perca tersebut dan ketika itu, seorang mentor yang juga merupakan rakan saya, Mary Anne Tan kemudian mencadangkan supaya saya hasilkan busana untuk patung,” ujarnya yang kini menetap di Kampung Buluh Gading, Kuala Terengganu kepada K2.

Bagi Adrian, menghasilkan pakaian pada patung merupakan tugas yang mencabar dan memerlukan ketelitian tinggi memandangkan saiznya kecil.

Tambah Adrian, minat yang mendalam terhadap busana tradisional telah mendorongnya menghasilkan pelbagai busana khusus untuk patung seperti baju kurung, kebaya, ceongsam, sari, persalinan perkahwinan tradisional keturunan Baba Nyonya Melaka dan lain-lain.

Sebagai seorang lelaki berketurunan Baba Nyonya, Adrian berkata, busana tradisional perkahwinan Baba Nyonya Melaka adalah antara rekaan yang paling bermakna buatnya.

“Jika ditanya kepada saya, rekaan mana yang paling bermakna dan paling saya suka secara peribadi, jawapannya ialah rekaan pakaian tradisional kaum Baba Nyonya Melaka.

“Selain cantik, perincian kepalanya yang teliti juga menjadikan busana itu mempunyai pesona tersendiri,” ujarnya.

Adrian juga menghasilkan busana-busana Melayu tradisional mengikut negeri-negeri di Malaysia. Dia turut membikin busana perkahwinan sebagaimana yang ditampilkan dalam perkahwinan gemilang kerabat diraja Brunei baru-baru ini.

KINI menetap di Kuala Terengganu, lelaki berketurunan Baba Nyonya dari Melaka ini meneruskan minatnya dalam jahitan tidak kira di mana jua.

Kongsi Adrian, dia lazimnya mengambil masa antara tiga hari sehingga dua minggu untuk menghasilkan busana tradisional pada patung.

Lebih mengagumkan, kemahirannya bukan hanya terhad bagi penghasilan baju tetapi juga aksesori kepala dan barangan kemas seperti rantai leher dan rantai tangan pada patung fesyen.

Mengakui dirinya amat cerewet, Adrian menganggap kerjayanya itu menuntut dirinya untuk menjadi cerewet kerana sifat itu membantu dalam menghasilkan busana patung yang rapi dan terperinci.

“Saya amat cerewet kerana kalau boleh, busana patung yang saya hasilkan itu perlu benar-benar mirip dengan busana manusia sebenar.

“Saya juga amat teliti dari segi perincian pada pakaian seperti manik dan sebagainya, malah potongan pada pakaian juga haruslah benar-benar menyerupai yang dipakai orang sebenar,” tuturnya.

Sehingga kini, Adrian sudah menghasilkan lebih 300 busana tradisional untuk patung yang kebanyakannya dibeli oleh orang ramai, selain disimpan sebagai koleksi peribadi.

Adrian juga sering menerima tempahan daripada orang ramai yang mahu menjadikan patung dihasilkannya itu sebagai hadiah perkahwinan buat rakan-rakan dan ahli keluarga.

Harga bagi satu unit patung Adrian bermula daripada RM150 mengikut rekaan dan RM500 ke atas bagi sepasang patung (lelaki dan perempuan).

Bagi set patung paling mahal yang pernah dijualnya, ia adalah patung pakaian tradisional Baba dan Nyonya Melaka yang berharga RM1,200.

“Sanggul lintang yang dipakai pada pengantin perempuan itu perlu dihasilkan dengan penuh teliti dan sama seperti yang ditampilkan dalam perkahwinan tradisional masyarakat Baba Nyonya Melaka,” katanya.

Bagi Adrian, keunikan patung-patungnya adalah kerana dihasilkan sekali sahaja dan tidak lagi boleh dibeli di mana-mana. Malah katanya, jika dia ada menerima tempahan daripada pelanggan yang meminta dia menghasilkan set patung yang mirip dengan patung pernah dihasilkannya sebelum ini, Adrian akan menjelaskan bahawa itu agak sukar dipenuhi.

“Hal ini kerana fabrik yang saya gunakan untuk koleksi pakaian pada patung-patung ini adalah terhad.

“Ini menjadikan setiap koleksi yang dihasilkan itu cukup unik dan bersifat collectibles kerana tidak dihasilkan secara pukal,” katanya.

Kongsi Adrian, sebagai seorang pereka busana patung, dia sejak sekian lama menyimpan hasrat untuk membuat pameran patung secara besar-besaran dan juga memiliki muzium patungnya sendiri.

“Saya menyimpan hasrat untuk mempunyai muzium pakaian tradisional patung yang memberi peluang kepada orang ramai, khususnya generasi muda untuk lebih mengenali busana tradisional masyarakat di Malaysia.

“Muzium sebegitu juga secara tidak langsung boleh menjadi satu produk pelancongan kepada pelancong antarabangsa misalnya untuk melihat sendiri kepelbagaian budaya dan warna-warni pakaian tradisional masyarakat di negara ini,” ujarnya yang sebelum ini pernah terlibat dalam pameran patung busana tradisional di China dan Australia.

Mereka yang berminat untuk menempah patung fesyen Adrian boleh menghantar e-mel ke [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN