PETALING JAYA – Pengundi yang berhijrah ke Sabah atau Sarawak sama ada bekerja atau melanjutkan pelajaran menggesa syarikat penerbangan menurunkan harga tiket agar mereka dapat pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Seorang suri rumah, Farah Begum Ahamad, 36, yang kini menetap di Sabah berasa terkilan tidak dapat pulang mengundi disebabkan isu tersebut.
“Saya berpindah ke Sabah kerana mengikut suami yang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Kesian juga pada nasib pelajar semenanjung yang berada di Borneo ini. Mereka juga mahu pulang ke kampung masing-masing untuk mengundi, tetapi tidak mampu berbuat demikian atas faktor tiket penerbangan mahal,” katanya.
Dalam hal ini, beliau meminta kerajaan mengambil inisiatif berbincang dengan pengendali syarikat penerbangan bagi mengenakan caj minimum tiket penerbangan khas bagi membolehkan rakyat di luar Semenanjung untuk pulang mengundi.
Selain itu, dia turut menggesa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggubal akta khas bagi rakyat yang berhijrah untuk mendapatkan hak mengundi pos.
“Saya ada menghubungi pihak SPR untuk memohon bagi mendapatkan undi pos, tetapi malangnya diberitahu tidak layak berbuat demikian. Ia hanya boleh dibuat oleh penjawat awam dan media yang bertugas pada hari mengundi,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pelajar UMS, Azman Shahril, 38, berkata, sebagai seorang pelajar sepenuh masa tajaan kerajaan, dia berasakan undian pos sewajarnya diberi pilihan kepada pelajar di
Sabah dan Sarawak serta pelajar berasal dari Sabah dan Sarawak tetapi menuntut di Semenanjung.
“Saya berasal dari Jempol, Negeri Sembilan dan merantau Sabah atas sebab melanjutkan pelajaran di UMS,” katanya.
Seorang penjaga stor di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur, Syazirul Shamry Jefrydin, 21, berkata, harapan tinggi untuk pulang mengundi di Sandakan, Sabah berkubur setelah melihat harga tiket penerbangan yang di luar kemampuan.














