fbpx

Verstappen juara GP terbanyak semusim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VERSTAPPEN menegaskan rekod yang diraih itu adalah sesuatu di luar jangkaan tetapi pujian wajar diberikan kepada kru di belakang tabir sebab mereka bertungkus-lumus sepanjang musim. – AFP

MEXICO – Juara dunia, Max Verstappen terus melakar sejarah tersendiri dengan memecahkan rekod kejuaraan Grand Prix (GP) terbanyak sepanjang musim selepas mendominasi GP Mexico di Litar Antarabangsa Hermanos Rodriguez awal pagi semalam.

Pada perlumbaan tersebut, Verstappen tidak mempunyai masalah untuk mendominasi saingan dengan menafikan cabaran pelumba Mercedes, Lewis Hamilton di tempat kedua dan rakan sepa­sukan, Sergio Perez melengkapkan kedudukan podium.

Keputusan tersebut menyaksikan juara dunia kelahiran Belanda itu meraih 14 kejuaraan GP musim ini sekali gus memecahkan rekod 13 kejuaraan GP yang dilakukan oleh Michael Schumacher pada edisi 2004 dan Sebastian Vettel (2013).

Kata Verstappen, rekod yang diraih itu adalah sesuatu di luar jangkaan tetapi pujian wajar diberikan kepada semua kru di belakang tabir termasuk pegawai pasukan yang bertungkus-lumus sepanjang musim ini.

“Kejayaan yang diraih adalah sesuatu di luar jangkaan tetapi saya percaya kami tidak akan berpuas hati setakat ini. Saingan masih lagi berbaki dua perlumbaan dan sudah pasti pasukan mahu meneruskan momentum positif pada GP seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Verstappen mengakui turut terkilan apabila kejayaan mempertahankan gelaran dunia buat kali kedua berturut-turut tidak dihormati bekas juara dunia tujuh kali, Hamilton yang enggan menyebut namanya kepada media.

“Saya difahamkan Hamilton tidak pernah menyebut nama saya dan saya tidak tahu kenapa. Saya sering diajar untuk menghormati orang lain dan Hamilton adalah salah seorang daripada individu tersebut kerana dia antara pelumba terbaik sepanjang zaman,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI