fbpx

Fauziah Nawi terima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAUZIAH Nawi penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa pada Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA2022) yang berlangsung malam tadi.

PUTRAJAYA – Selepas hampir lima dekad berkecimpung dalam industri seni, seniwati Fauziah Nawi dinobatkan selaku penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Dalam majlis Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA2022) yang malam tadi, Fauziah, 69, turut menerima hadiah berupa sebuah kereta Mitsubishi Xpander.

Aktres yang merupakan seorang guru lakonan terkenal itu membuat seluruh dewan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya berasa sebak apabila mendedahkan impiannya untuk memiliki sebuah kereta sendiri dimakbulkan Allah.

FAUZIAH Nawi menerima hadiah sebuah kereta Mitsubishi Xpander yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah). Foto AMIR KHALID

“Sebenarnya Allah tengah baik dengan saya. Saya tiada kereta kerana kereta Proton Waja yang digunakan sebelum ini terbakar.

“Saya juga tidak mampu untuk membeli sebuah kereta baharu kerana sudah tua dan tidak boleh membuat pinjaman bank.

“Saya berdoa dan bersyukur malam ini (semalam) Allah makbulkan doa saya,” ujar Fauziah dalam keadaan sebak.

Dalam pada itu, ASA2022 turut menyaksikan drama Pencipta Pegang Waktu terbitan Primeworks Studios (PWS) dan Gambo.TV diumum Drama Televisyen (TV) Terbaik.

Drama tersebut menerima hadiah utama Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000, wang tunai RM5,000 dan trofi.

Selain itu, ganjaran DKD bernilai RM150,000 diberikan kepada penerbit dokumentari Social Playlist iaitu Herbert Pua Kuo Jie selepas naskhah garapannya diangkat sebagai Dokumentari Terbaik.

PASUKAN drama Pencipta Pegang Waktu yang memenangi kategori Drama Televisyen Terbaik dan menerima hadiah utama Dana Kandungan Digital bernilai RM200,000.

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kepada Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Program Dalaman, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Nor Shahila Harun Shah.

Nor Shahila menjelaskan, kemenangan yang diterima membuatkan pihaknya berazam untuk membikin drama yang lebih baik pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada ASA2022 yang mengiktiraf Pencipta Pegang Waktu sebagai Drama TV Terbaik dan terima kasih kepada TV3.

“Bersama dana yang diberi membuatkan kami lebih bersemangat menghasilkan drama untuk ‘kaki drama’ Malaysia,” katanya.

Selain Drama TV Terbaik, pengarah Pencipta Pegang Waktu iaitu Zainorhisyam Samudin, diumum Pengarah Drama TV Terbaik.

Drama tersebut yang menerima tujuh pencalonan dalam ASA 2022 disiarkan TV3 pada Julai 2020.

Naskhah berkenaan dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid, Khir Rahman, Que Haidar, Puteri Balqis, Azman Hassan dan Haidin Nasir.

Kisah masyarakat iaitu dilema dihadapi lelaki ‘lembut’ dikenali sebagai Zakree atau Zee lakonan Que yang berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan kerana penampilannya diangkat sebagai inti utama dalam naskhah tersebut.

ASA2022 juga menyaksikan pelakon veteran Eman Manan meraih trofi Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik menerusi drama Satu Kampung Dua Orang.

Trofi Pelakon Wanita Drama TV Terbaik pula diraih aktres veteran, Khatijah Tan hasil lakonan mantap dalam drama Rabak.

Anugerah tersebut juga menyaksikan kategori Skrip Drama TV Terbaik dimenangi Sham Hashim menerusi drama Scammer yang disiarkan Astro Ria.

Kategori Pelakon Lelaki Drama Radio Terbaik dimenangi Beto Kusyairy menerusi drama Anugerah Terindah, manakala Lisdawati diumum Pelakon Wanita Drama Radio Terbaik (Akhirnya Bahagia Meluruh).

Selain itu, ASA2022 menyaksikan kategori Pengacara TV Terbaik dimenangi Fedtri Yahya menerusi program Jejak Rasul TV3.

Bagi kategori Penyampai Berita TV Terbaik pula, penyampai Buletin Utama TV3, Norliza Mohd. Zain menewaskan empat finalis lain.

Turut cemerlang, Nor Izzati Lockman dari Majalah TV3 yang memenangi kategori Majalah TV Terbaik.

Bertemakan Kemuncak Kecemerlangan seiring sambutan Jubli Emas, ASA2022 menyaksikan 72 kategori termasuk 43 kategori televisyen dan 22 kategori radio dipertandingkan dalam acara yang berlangsung selama dua hari.

ASA2022 kembali setelah menyepi enam tahun dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

Pentas ASA2022 malam tadi turut dihangatkan dengan persembahan hebat daripada Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk Syafinaz Selamat, Noraniza Idris, Misha Omar, Hazama, Amir Masdi, Haqiem Rusli, Tajul dan Wani Kayrie.

ASA2022 dihoskan oleh Fara Fauzana, Terrence Dass dan Enn Xaviera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI