fbpx

Seniwati Fauziah Nawi bergelar Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAUZIAH yang sudah lima dekad dalam industri menyifatkan kurniaan Darjah Kebesaran ini sebagai pengiktirafan kepada golongan seni.

PETALING JAYA – Seniwati, Datuk Fauziah Nawi meluahkan rasa syukur atas Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kurniaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Dramatis terkenal yang sudah lima dekad dalam industri itu menyifatkan anugerah terbabit sebagai pengiktirafan kepada golongan seni.

“Alhamdulillah, saya ingin panjatkan kesyukuran dan rasa terima kasih atas kurniaan darjah kebesaran ini daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Hakikatnya pengiktirafan ini memberi makna yang cukup mendalam kepada saya serta pengkarya lain amnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Fauziah, 70, tidak lupa menzahirkan terima kasih kepada ramai pihak yang tidak henti-henti merakamkan ucapan tahniah.

“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang menghantar ucapan tahniah.

“Namun, saya meminta maaf tak dapat menjawab kesemuanya, jangan terasa hati,” katanya lagi.

Bintang versatil yang sinonim dengan watak air mata itu sebelum ini merupakan Tokoh Seri Angkasa, Anugerah Seri Angkasa 2022.

Terdahulu, Fauziah menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) bagi kategori penggiat seni sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain Fauziah, Darjah PJN yang membawa gelaran Datuk turut dikurniakan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk lzham Ismail.

Dua tokoh itu mendahului senarai 297 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2023 pada istiadat pengurniaan di Istana Negara, di sini.

Pada Jun lalu Fauziah lebih dulu dikurniakan Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) bagi kategori penggiat seni.

Menyingkap latar belakang tokoh seni itu, beliau pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik untuk filem Sayang Salmah dan drama Mendung Tidak Berarak Lagi.

Dilahirkan di Ipoh, Perak pada 28 Jun 1953, Fauziah bukan sahaja pelakon dan tenaga pengajar seni lakon malah pernah menjadi penari dan penyanyi sejak usia belasan tahun.

Beliau pernah bergelar tenaga pengajar bagi Akademi Fantasia Musim keempat (2006) dan keenam (2008). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI