fbpx
AWANG AZMAN melihat PRU15 cukup penting bagi membentuk kestabilan politik negara.

PRU15 pertembungan BN, PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGGAL 19 November ini akan menjadi satu tarikh penting kepada negara apabila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan. Setelah negara berhadapan ketidakstabilan politik pada PRU14 sehingga menyaksikan tiga Perdana Menteri bertukar dalam tempoh kurang satu penggal, pilihan raya kali ini menjadi medan terbaik buat pengundi untuk memilih parti politik yang akan menerajui negara.

Kestabilan politik amat penting bagi memastikan negara boleh terus bergerak ke hadapan demi kepentingan rakyat. Bagi membincangkan isu semasa berkaitan PRU15, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Menjelang hari penamaan calon PRU15 yang bakal tiba pada 5 November depan, bagaimanakah Dr. melihat suhu atau suasana politik negara pada ketika ini?

DR. AWANG AZMAN: Suasana politik di Malaysia ketika ini semakin hangat dan dipanaskan lagi dengan landskap politik di mana kerajaan yang dibentuk dilihat kurang stabil.

Ketidakstabilan ini telah mewujudkan perbalahan dalam Kabinet sehingga ada watikah yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong (YDP).

Selain itu, berlaku rasa ketidakpuasan hati terbuka daripada pimpinan parti politik yang ada bersama dalam kerajaan.

Suasana ini apabila tersebar ke media sosial dan orang awam, ia telah mencetuskan keresahan rakyat.

Suasana ketidakstabilan ini hanya ada jalan keluar dengan mengadakan pilihan raya.

Apabila pilihan raya ini berlaku, maka ia membabitkan persaingan sengit antara blok-blok parti.

Kita lihat mereka dahulu pernah bersama seperti Barisan Nasional (BN), Bersatu dan Pas, tetapi apabila bubarnya Parlimen kerjasama ini tidak diteruskan lagi.

Di satu lagi blok ada Pakatan Harapan (PH) dalam masa yang sama ada kumpulan bebas yang akan menyertai PRU15. Keadaan ini menjadikan suasana demokrasi di Malaysia lebih meriah, sekali gus menyebabkan pertembungan pelbagai penjuru dijangka berlaku.

Dari satu segi, ia bagus untuk demokrasi bagi memastikan pemimpin terbaik dipilih oleh rakyat, walaupun dari aspek lain, ia akan menyebabkan undi berpecah.

Apabila terlalu banyak parti, ia akan memberi pilihan kepada rakyat untuk memilih.

Jika kita hanya ada dua parti sahaja, ia akan bersifat monopoli dan ini tidak bagus untuk menyuburkan amalan demokrasi di negara kita.

Rakyat Malaysia sudah mempunyai 32.5 juta penduduk dan pengundi telah mencecah 22 juta.

Pengundi memerlukan platform yang pelbagai, sesuai dengan peningkatan penduduk dan pengundi.Jadi, pertambahan jumlah parti politik memang sudah dijangka.

Isu berpecah atau tidak, saya lihat sama ada Melayu, Cina atau India kalau dikumpul sekali, ia tetap Keluarga Malaysia.

Kita perlu meraikan secara demokrasi kerana masing-masing mempunyai kepelbagaian pendirian, sikap dan ideologi politik.

Pada PRU15, terdapat beberapa parti baharu yang bakal membuat kemunculan kali pertama seperti Muda, Pejuang, Parti Bangsa Malaysia. Sejauh mana Dr. melihat kemampuan parti-parti ini?

Untuk parti-parti baharu yang bertanding memang ia menjadi satu cabaran besar tambahan pula berada di gelanggan pilihan raya umum.

Parti Muda misalnya memerlukan sokongan daripada parti-parti lain untuk membolehkan mereka dapat bertahan dalam arena politik ketika ini.

Begitu juga dengan parti-parti di bawah Gerakan Tanah Air (GTA) yang belum lagi teruji dan kebanyakan mereka dari parti lain sebelum ini.

Mungkin Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh menang di kawasannya sendiri. Tetapi, di kawasan lain tidak ada jaminan berdasarkan jumlah sokongan diterima, keahlian yang ada dan sentimen rakyat dilihat kurang memihak kepada GTA berbanding blok politik lebih besar seperti BN dan PH.

Pilihan raya kali ini apa yang dapat dirumuskan lebih kepada pesaingan dua blok politik besar iaitu BN dan PH.

Perikatan Nasional (PN) pula adalah blok politik ketiga dan prestasi Pas dan Bersatu juga dijangka akan menurun.

Sejauh mana penurunan, kita akan dapat lihat sentimen ketika kempen pilihan raya dan setelah keputusan diumumkan.

Bagi BN dan PN peluang kedua-dua blok politik ini untuk menang kali ini adalah 50-50.

Tetapi PN akan tetap memberikan cabaran buat BN dan PH kerana akan berlaku pertembungan pelbagai kerusi dan ini memberi kelebihan kepada blok PN.

Apabila undi berpecah, PN akan mendapat kelebihan untuk mendapatkan undi daripada pengundi yang menolak BN dan PH.

Sebab itu saya katakan, PN ini sebagai blok ketiga kerana ia akan menjadi satu pilihan alternatif buat pengundi.

PRU14 yang lalu tsunami pemerintahan negara telah berlaku sehingga akhirnya membawa kepada kemelut politik yang berpanjangan, bahkan terjadi pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali, apa yang sepatutnya boleh diambil pengajaran oleh rakyat dalam hal ini?

Ini maknanya rakyat mahukan kerajaan yang stabil, politik yang harmoni dan tidak ada manifesto menjanjikan bulan, bintang dan sebagainya.

Apabila janji-janji tidak dapat ditunaikan setelah kerajaan dibentuk, ia akan mencetuskan kemarahan pengundi itu sendiri.

Kedua, politik itu perlu harmoni dan kerjasama yang dibentuk itu harus lebih ikhlas buat rakyat dan bukan untuk kepentingan sendiri.

Kita tidak mahu lagi ada Perdana Menteri yang tiba-tiba meletak jawatan tanpa berunding dengan parti komponennya. Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Keadaan ini akan menyebabkan parti-parti politik membuat satu ikatan rapuh atas nama untuk memastikan kestabilan dan menjunjung titah YDP untuk keamanan negara.

Sewaktu pemerintahan PH selama 22 bulan, kita dapati nasib orang Melayu sedikit terabai apabila tiada parti Melayu yang dominan dalam kerajaan. Pada pendapat Dr., mengapakah parti Melayu perlu menjadi teras dalam sesebuah kerajaan?

Isu dominasi Melayu dalam PH ini kadang-kadang boleh dianggap sebagai satu bentuk propaganda politik dan ia bersifat persepsi semata-mata.

Jika dilihat dari segi jumlah kabinet PH itu sendiri, kita lihat memang didominasi oleh Ahli Parlimen Melayu. Ini adalah satu fakta yang perlu kita perlu terima.

Namun, pada masa sama, ada beberapa perkara yang menyebabkan ketidakselesaan dijadikan persepsi. Misalnya, jawatan-jawatan yang lazim dipegang oleh orang Melayu seperti Kementerian

Kewangan, Kementerian Penerangan telah dipegang oleh orang bukan Melayu.

Ini telah menimbulkan situasi baru yang memerlukan penyesuaian dan pada masa sama terdapat persepsi bahawa berlaku pergolakan di dalam PH itu sendiri.

Situasi ini menyebabkan keyakinan, ketidakselesaan rakyat itu tercetus dan peluang itu diambil oleh pihak tertentu sehingga berlakunya langkah Sheraton.

Sejak negara merdeka, Malaysia terus membangun menjadi sebuah negara yang gemilang, harmoni walau hidup berbilang kaum dan dikenali sebagai salah satu jagoan kuasa ekonomi di rantau Asia Tenggara. Tetapi semuanya berubah setelah PRU14 dengan Indonesia pula misalnya semakin ke depan. Apakah boleh dikatakan ini kesan daripada kejatuhan parti yang memerintah negara selama ini? Adakah pelabur asing lebih meyakini kerajaan pimpinan terdahulu?

Saya lihat isu khianat-mengkhianati dalam politik telah menyebabkan ketidakselesaan masyarakyat di mana mandat rakyat telah dirampas.

Perebutan kuasa juga telah menyebabkan rakyat muak. Hal ini juga dipengaruhi oleh faktor dunia seperti berlakunya pandemik Covid-19 yang mengubah geoekonomi dan geopolitik global.

Kenaikan harga barang, kehilangan peluang pekerjaan berlaku di seluruh dunia.

Kita kena adil dalam konteks ini, di mana suasana berkenaan bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut berlaku di luar negara.

Pada masa sama, keadaan politik yang selalu bergolak juga telah menyebabkan keyakinan pelabur mula hilang.

Dalam satu penggal, kita ada tiga Perdana Menteri dan ini tidak pernah berlaku. Ia menyebabkan pelabur akan tunggu dan lihat sebelum melabur di Malaysia.

Pelabur bimbang jika tidak ada keputusan konkrit yang akan memberi kelebihan kepada mereka.

Strategi untuk menarik pelabur kita lihat ada dilaksanakan, tetapi apabila politik tidak stabil tiada pelabur yang yakin untuk melabur.

Berbanding Indonesia, situasi politik di sana stabil.

Malaysia pasti akan berlaku anjakan ke hadapan apabila kita dapat satu kerajaan stabil dan kelompok pemain politik lama sudah tidak ada dalam radar.

Untuk kembali stabil, kita mungkin akan mengambil sedikit masa, mungkin satu atau dua penggal.

Pada pandangan Dr., apakah yang patut dilakukan untuk memulihkan ekonomi negara? Setelah keputusan PRU15 diketahui kita perlu menghormati mandat rakyat.

Sesiapa sahaja yang dilantik menjadi Perdana Menteri dan diperkenankan oleh YDP perlu juga dihormati.

Tugas utama untuk membentuk kerajaan baru adalah dengan memastikan ahli Kabinet yang berprestasi tinggi.

Rakyat kini boleh menilai prestasi ahli Kabinet itu sendiri. Mereka yang berprestasi atau berpotensi perlu diangkat dan diberi peluang.

Ini akan membantu memulihkan ekonomi negara.

Kita boleh lihat di Indonesia, mereka mendapat calon terbaik yang diangkat menjadi menteri dan atas sebab itu mereka boleh bergerak ke hadapan.

Selain itu, perlu ada politik solidariti supaya selepas PRU15 tidak perlu lagi bergaduh atau bertelegah mengenai isu politik.

Sebagai contoh Presiden Indonesia, Jokowi walaupun dia bersaing sengit dengan pesaingnya, Prabowo dalam pilihan raya negara itu.

Setelah selesai, Prabowo kemudiannya dilantik oleh Jokowi untuk menjadi menteri dan tiada isu selepas itu.

Kita juga boleh menggunakan kaedah ini dalam memulihkan ekonomi negara.

Pada PRU sebelum ini, kita dapati undi orang Melayu terpecah kepada tiga iaitu BN, PH dan Pas. Jadi, pada PRU15 ini, adakah situasi sama akan berulang atau sebaliknya?

Pecahan undi tidak dapat dielakkan dalam dunia demokrasi kerana setiap parti politik mempunyai pemikiran, sikap, pendirian dan ideologi berbeza.

Bagi masyarakat yang melihat negara kita sebagai sebuah negara berbilang kaum, mereka meraikan kepelbagaian tersebut. Jadi, mereka melihat kewujudan pelbagai parti bersesuaian dengan suasana tersebut.

Apabila mereka melihat tentang kesederhanaan, keterbukaan, tidak ke kiri atau kekanan, mereka akan memilih BN.

Bagi satu pihak yang percaya bahawa perlu adanya undang-undang Islam dilaksanakan, maka mereka akan memilih Pas.

Ini semua tentang kecenderungan dan kita tidak boleh sifatkannya sebagai pepecahan undi.

Ini kerana ia berkaitan sikap dan pendirian pengundi itu sendiri terhadap siapa yang dirasakan lebih layak untuk mendapat undi.

Terdapat sesetengah pengundi yang membuat pilihan disebabkan rasa marah atau tidak puas hati terhadap pemimpin tertentu dalam sesebuah parti. Namun, mereka tidak sedar tindakan berkenaan merugikan bangsa dan negara. Boleh Dr. ulas perkara ini?

Mengundi tidak boleh dilakukan secara emosi dan ia merupakan hak rakyat yang perlu dilakukan melalui pemikiran rasional dan penilaian kritis berteraskan agenda negara bangsa.

Pembentukan sebuah negara yang meraikan proses demokrasi itu sendiri harus memberikan kestabilan pada jangka masa panjang.

Dilema yang berlaku kepada pengundi ketika ini adalah sama ada memilih parti atau calon.

Ada calon memiliki personaliti yang baik, tetapi tidak partinya dan begitu juga sebaliknya.

Oleh itu, pengundi perlu menilai semasak-masaknya daripada pelbagai sudut untuk melihat yang terbaik.

Ia bagi memastikan diri, keluarga dan masyarakat serta negara berada di landasan betul untuk bergerak ke hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN