fbpx

Pearly-Thinaah lakar sejarah juara Terbuka Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pearly-Thinaah meraikan kejayaan muncul juara Terbuka Perancis selepas menewaskan Matsumoto-Nagahara dalam aksi tiga set di perlawanan akhir hari ini.

KUALA LUMPUR – Pasangan negara, Pearly Tan-M. Thinaah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi beregu wanita pertama Malaysia merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Pierre de Coubertin, Paris sebentar tadi, gandingan No.11 dunia itu menewaskan juara dunia dua kali dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara menerusi aksi tiga set 21-19, 18-21, 21-15.

Turun menentang pilihan keempat kejohanan langsung tidak menghadirkan gentar buat Pearly-Thinaah apabila memulakan perlawanan di set pertama dengan aksi meyakinkan sehingga berjaya mendahului 13-8.

Biarpun Matsumoto-Nagahara cuba menampilkan aksi lebih baik untuk merapatkan kedudukan, namun pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu tetap tenang sebelum menamatkan set pertama 21-19.

Memasuki set kedua, Pearly-Thinaah terus menampilkan corak permainan agresif apabila melakukan serangan bertubi-tubi ke arah beregu No. 7 dunia itu, namun ia seolah-olah sudah dapat dibaca oleh lawan apabila ketinggalan 8-11.

Pearly-Thinaah kembali memperkemaskan permainan sebelum merapatkan kedudukan 11-13 tetapi fokus yang ditunjukkan bekas gandingan No.1 dunia itu sukar digugat apabila mereka terus mengutip mata demi mata sebelum menang 21-18 bagi mengheret perlawanan ke set ketiga.

Bersambung set ketiga, Matsumoto-Nagahara dilihat sudah mula mendapatkan rentak sebenar meskipun diberi tentangan sengit oleh Pearly-Thinaah bagi mendahului permainan 6-4.

Perlawanan menjadi semakin menarik apabila kedua-dua pasukan saling mengejar dan bertukar servis sebelum Pearly-Thinaah mula menjarakkan kedudukan 11-8, sekali gus menjadi pembakar semangat buat mereka.

Walaupun pasangan Jepun itu cuba melakukan kebangkitan dengan mengejar kedudukan Pearly-Thinaah, namun mereka tetap tenang selain memberikan sepenuh fokus sebelum memastikan gelaran Super 750 itu menjadi milik Malaysia menerusi kemenangan 21-15. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI