fbpx

Bekalan diesel AS hampir habis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harga minyak petrol dan diesel dipaparkan di hadapan stesen minyak di San Rafael, California, 25 Oktober lalu. – AFP

WASHINGTON – Sebuah syarikat pembekal diesel utama di Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangan mengenai situasi bekalan bahan api itu yang semakin berkurang dan dijangka mendorong kenaikan harga kepada pengguna, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Mansfield Energy yang menghantar lebih 11 bilion liter diesel  dan produk berkaitan kepada 8,000 pelanggan di seluruh rantau Amerika Utara berkata, pihaknya kini memerlukan notis 72 jam bagi mendapatkan bahan api serta pengangkutan yang sesuai kerana ‘situasi berubah dengan pantas’.

Berdasarkan data diterbitkan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS kelmarin, inventori bahan api sulingan (kategori yang merangkumi diesel) berkurang sebanyak 100,000 tong pada minggu berakhir 14 Oktober lalu.

Keadaan itu meletakkan paras penyimpanan bahan api sulingan AS pada 20 peratus di bawah purata lima tahun untuk tahun ini.

“Ada masanya penghantar terpaksa pergi ke beberapa terminal untuk mencari bekalan dan ini  melambatkan penghantaran dan menjejaskan kapasiti lori tempatan,” kata Mansfield. 

Disebabkan keadaan itu, firma tersebut berkata, harga minyak diesel berkemungkinan mencatat kenaikan kira-kira AS$0.30 sen hingga AS$0.80 sen (RM1.41 hingga RM3.76) daripada harga pasaran.

Dalam pada itu, Jabatan Tenaga menganggarkan buat masa ini, diesel yang ada hanya mencukupi untuk memenuhi permintaan selama 25 hari.

Pengarah Majlis Ekonomi Negara, Brian Deese pula berkata, bekalan diesel AS kini amat rendah dan White House menggunakan semua cara yang ada untuk menangani isu tersebut.

Presiden Joe Biden baru-baru ini mengumumkan akan menggunakan rizab strategik negara bagi minyak mentah sebagai tindak balas kepada keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang mahu mengurangkan kuota pengeluaran.

Deese berkata, untuk menangani masalah kekurangan diesel, pentadbiran Biden terpaksa berharap pada satu juta tong diesel yang disimpan dalam rizab negara. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI