fbpx

Peniaga sorok harga ayam sekilogram cecah RM12

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENIAGA ayam di Pulau Pinang dikatakan tiada pilihan lain selain menaikkan harga ayam standard sehingga RM12 sekilogram ketika ini. – IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Peniaga ayam di negeri ini didakwa ada yang terpaksa meletakkan harga secara sorok-sorok melebihi harga kawalan RM9.40 sekilogram berikutan tidak mampu lagi menampung siri kenaikan harga makanan keperluan utama itu oleh pihak pembekal.

Difahamkan, pihak pembekal bertindak menaikkan harga sebanyak 30 sen bagi sekilogram ayam standard buat kali yang keempat pada Sabtu lalu menjadi RM9.50 sekilogram.

Sebelum ini, kenaikan harga barangan basah itu berlaku pada 2, 5 dan 13 Oktober lalu. Ketika ini, penetapan harga siling bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram.

Seorang peniaga ayam di daerah Timur Laut yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 38, berkata, pihaknya kini semakin tersepit dengan dengan isu kenaikan harga barangan utama itu sehingga RM9.50 sekilogram berbanding RM8.10 yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, pembekal mendakwa kenaikan berlaku dipercayai berpunca daripada kekurangan bekalan ayam di ladang selain menunggu tempoh matang ternakan tersebut.

“Ada juga peladang memaklumkan yang mereka terpaksa mendapatkan bekalan ayam hidup daripada pengusaha ladang lain selain sanggup menawarkan harga lebih 30 sen untuk seekor ayam.

“Itupun susah hendak dapatkan bekalan. Peladang tetap tidak boleh jual atas alasan turut mengalami kekurangan stok ternakan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam yang juga mahu dikenali sebagai Yasin, 41, me­ngakui terdapat peniaga cuba menaikkan harga ayam stan­dard secara senyap-senyap sehingga RM12 sekilogram ketika ini.

“Peniaga langsung tak dapat untung jika pembekal menaikkan lagi 30 sen menjadi RM9.50 sekilogram, sedangkan harga si­ling adalah RM9.40 sekilogram.

“Kami boleh gulung tikar jika pembekal masih meletakkan harga sama (RM9.40) dan jika berlarutan tanpa sebarang tindakan pihak berwajib, mungkin ramai peniaga kecil akan tutup operasi atau harga ayam semakin melambung tinggi.

“Kami rayu supaya pihak berkuasa memantau perkara ini di peringkat ladang dan pengilang. Janganlah hanya menu­ding jari kepada peniaga semata-­mata, kami memang terkesan ketika ini,” ujarnya.

Terdahulu, tinjauan Kosmo! di beberapa pasar awam di daerah Barat Daya dan Timur Laut mendapati hampir keseluruhan peniaga mempamerkan harga RM9.40 bagi sekilogram ayam standard.

Namun apabila dibeli, harga seekor ayam tersebut mampu mencecah sehingga RM23 bagi 1.9 kilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI