fbpx

Mahkamah: Lokman Adam kekal dipenjara sebulan hina mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman Adam ketika hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini. FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kekal menjalani hukuman penjara sebulan atas kesalahan menghina mahkamah kerana mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Demikian keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan hari ini selepas menolak rayuan Lokman Noor bagi mengetepikan sabitan dan hukuman serta rayuan silang pendakwa raya terhadap hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan berpuas hati rayuan kedua-dua pihak tiada merit manakala hukuman yang dijatuhkan wajar dan munasabah.

“Tiada sebab bagi panel ini untuk mengusik keputusan Mahkamah Tinggi kerana hakim berkenaan telah membuat pertimbangan yang betul dengan mengambil kira kepentingan awam dan faktor sampingan lain ketika mencapai keputusannya,” ujar Hakim Che Ruzima ketika membacakan keputusan tersebut.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah agar pelaksanaan hukuman terhadap Lokman Noor ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

Pada 22 Oktober 2019, Hakim Collin memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Pada 14 Januari 2020, Hakim Collin menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Tommy dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya responden dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Tommy pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Tommy berkata, pada hari sama Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari yang juga saksi pendakwaan kelapan berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI