fbpx

Mahkamah: 2 lagi individu culik lelaki Palestin didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua lagi individu yang menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mereka ialah Mohd. Zaidi Mohd. Zain ,54, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid ,49.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan secara niat bersama telah menahan Omar Z.M Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pukul 10.40 malam pada 28 September lalu (2022) yang didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamaluddin. Tiada jaminan dibenarkan kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin. Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember ini bagi sebutan semula kes.

Pada 14 oktober lalu Kosmo! Online melaporkan seramai 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan sama.

Kosmo! Online, 5 Oktober lalu melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September lalu.

Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI