fbpx

Penguatkuasaan undang-undang syariah perlu diangkat setanding agensi lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Daud

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan undang-undang syariah perlu diangkat setanding dengan agensi lain bagi menjalankan fungsi dan peranan menyeluruh dalam membendung kegiatan berkait agama dan moral.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, selain daripada memperkenalkan dasar undang-undang baharu, badan pelaksana juga perlu bergerak seiring agar akta yang dikeluarkan dapat dilaksana dengan berkesan.

Menurutnya, penguat kuasa agama (PPA) dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) seharusnya menjadikan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai penanda aras dalam bidang penguatkuasaan.

“Kita (PPA) perlu belajar daripada mereka yang berpengalaman dan lebih praktikal. Hari ini, kita mengetahui tentang akta tetapi mungkin kurang arif untuk menjalankan tangkapan, saman dan hak-hak orang yang tuduh.

“Jadi, program hari ini merupakan satu usaha tepat dengan keperluan penguatkuasaan bertaraf tinggi, sesuai dengan masyarakat yang lebih cakna tentang undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvesyen Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan di Hotel Pullman, Bangsar di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd. Ajib Ismail, pakar perundangan syariah Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz, Ketua Hakim Syarie Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Ahli Dewan Negara, Senator Fadhlina Sidek.

Mengulas berkenaan penggubalan undang-undang syariah dalam talian, Mohd. Daud berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu seksyen khas jenayah syariah digital.

“Untuk perkara ini, kita perlukan kepakaran baru selain mesin ‘smart’ (pintar) yang mampu mengumpulkan data supaya kita boleh mengenal pasti bukti-bukti jenayah.

“Ini kerana, kegiatan dalam talian kadang-kadang melibatkan rumah tangga, isu tuduhan liar yang ada kaitan dengan agama. Secara peribadi , saya akui ini adalah cabaran yang besar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI