fbpx

Calon tak layak, tak perlu datang 5 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SPR menetapkan 5 Novermber ini sebagai hari penamaan calon bagi PRU15.

Jalan menuju ke pekan Bangi Lama kembali elok, hitam dan berkilat selepas diturap. Malah, sebahagian besar jalan dari UKM telah diturap sejak dua minggu lalu.

Jika ada sebarang penanda akan ada pilihan raya, lihat berapa banyak jentera penurap jalan di mana-mana. Kepada sebahagian pengundi, penurapan jalan satu perkara besar.

“Baguslah kerajaan ni, jalan dia turap.” Cara mudah membeli jiwa berbanding berkempen dari rumah ke rumah atau ceramah besar-besaran.

Ironinya di tempat lain, walaupun jalan kekal buruk, air bersih terawat sesuatu yang jarang, kesetiaan kepada parti tetap kekal. “Ada jalan elok pun hendak ke mana.” Dua keadaan berbeza di dua lokasi berlainan.

Itu pemikiran “simpleton” sebahagian besar pengundi. “Awak bagi saya akan pilih.” Ia tidak perlu sesuatu yang besar.

Pada 19 November ini kira-kira 21.17 juta akan menentukan siapa akan memerintah negara untuk lima tahun akan datang. Jumlah pengundi kali ini juga lima juta lebih ramai berbanding PRU14.

Golongan muda akan keluar mengundi buat kali pertama dan mereka berbeza. Mereka tidak ada rasa terima kasih hanya kerana jalan ditar. Alasan bertahun-tahun tiada ayor, ayaq atau air tidak lagi diterima tanpa dipertikai. Tuntutan golongan muda sangat berbeza.

Mereka mahu kehidupan lebih baik, gaji besar, dan peluang pekerjaan terjamin. Mereka kritikal terutama yang mengundi kali pertama. Mereka lebih terdedah kepada maklumat.

Mereka yang berusia antara 18 hingga 28 tahun ini melalui masa sukar isu perjawatan, peluang pendidikan, kemasukan ke universiti, kos sara hidup, inflasi, perumahan, sewa rumah tinggi dan banyak lagi.

Mereka tidak kenang sejarah atau sumbangan dahulu. Tiada ada rasa terima kasih kepada pembesar. Apa yang mereka capai atas usaha sendiri. Siapa peduli sumbangan pembesar. Itu kerja menteri.

Mereka dibayar gaji, pelbagai elaun dan kenapa perlu hendak berterima kasih. Ia adalah kerja seperti kerani, jurutera, peguam, dan CEO. Bina jalan, sekolah dan bekalan air sememangnya kerja kerajaan dan tak perlu dibanggakan.

PRU15 kali ini juga sangat penting. Ia berlaku selepas Putrajaya mengalami “meltdown” seperti loji nuklear meletup dalam empat tahun – tiga perdana menteri berbeza – hanya sedikit baik berbanding UK apabila PM Liz Truss melepaskan jawatan selepas 45 hari.

Cabaran Malaysia juga lebih besar.

Ringgit juga berada pada kadar RM4.72 kepada AS dollar, atau 13.72% lebih rendah Khamis lalu, paras terendah dalam 24 tahun. Malaysia akan mengimport makanan lebih RM63 bilion tahun ini terutama dengan ringgit yang lemah.

Apa lebih mengerikan, ia terasa seperti krisis kewangan 1997/98 dengan Won Korea susut 17.83% tahun ini, Rupiah (-9.29%). Bhat Thailand (-13.08%), Peso

Filipina (-15.69%), dan Yen Jepun (-30.24%). Semua mata wang ini terjejas teruk ketika Krisis Kewangan Asia 1997/98.

Kurang sebulan lagi kita akan mengundi. Ia mengenai dasar dan polisi yang menyeluruh. Bukan janji manis. Ia mengenai kebolehan menjadikan “Malaysia Great Again”.

Sebuah negara yang bakal diwarisi oleh anak-anak muda dengan rasa bangga.

Jika parti atau mereka yang ingin bertanding tidak tahu cara mencapai semua harapan ini, lebih baik duduk di rumah pada 5 November ini. Itu sumbangan paling besar kepada demokrasi dan masa depan negara dengan tanpa perlu mengisi borang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI