fbpx
MESINGAN dipasang pada UGV THeMIS di Wattens, Austria pada musim panas lalu semasa percubaan sistem senjata oleh Tentera Diraja Belanda. - Briged Ringan Ke-13 Tentera Diraja Belanda

NATO kerah robot pembunuh ke Lithuania

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM – Kenderaan darat tanpa kru (UGV) tiba di Eropah dengan Belanda secara rasmi menjadi negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pertama menggunakan senjata berkenaan yang digelar sebagai ‘robot pembunuh’, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Tentera Diraja Belanda menguji empat UGV THeMIS bersenjata menerusi Briged Ringan Ke-13 di Lithuania, beberapa ratus kilometer sahaja dari sempadan Ukraine sejak bulan lalu.

Sama seperti dron tanpa pemandu, robot pembunuh itu berupaya meronda secara autonomi (tanpa pemandu) atau melalui kawalan jauh.

Ia boleh berfungsi sebagai senjata antikereta kebal, pad pendaratan untuk dron, kenderaan perubatan atau jentera bomba.

“Kami telah mengerahkan empat robot pembunuh bersenjata dalam eksperimen operasi. Pada pengetahuan saya, kami tidak pernah melihat senjata seperti ini digunakan oleh Barat.

“Mesin ini telah diserahkan untuk kegunaan eksperimen kepada briged berkenaan dalam persekitaran berkaitan ketentera­an. 

“Ini bukan sekadar ujian di tempat latihan. Kami berada di bawah mata dan te­linga Russia secara langsung, oleh itu ia adalah persekitaran separa operasi,” kata pegawai tentera Belanda, Leftenan Kolonel Mevissen.

UGV THeMIS tidak memiliki fungsi autonomi sepenuhnya dan memerlukan kawalan semasa beraksi. Kenderaan itu terbukti membawa maut dengan fungsi ‘mod senyap’ serta keupayaan ‘off-road’.

Russia dilaporkan mempunyai UGV THeMIS sendiri yang dike­rahkan ke Syria pada 2018 walaupun tentera mereka dilaporkan mengalami masalah teknikal ketika menggunakan  senjata  tersebut.

Tentera dari beberapa negara NATO mula meneroka penggunaan senjata autonomi. Pada tahun lalu, Jawatankuasa Etika Pertahanan Perancis berhujah menyokong senjata ‘separa autonomi’ yang dipantau oleh manusia.

Dalam pada itu, penggunaan senjata autonomi juga mendapat tentangan hebat oleh lelaki terkaya di dunia, Elon Musk serta sebilangan saintis dan pakar lain. 

Pada 2017, Musk dan 116 yang lain menandatangani surat terbuka kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyerunya mengharam­kan senjata autonomi dan menghalang ‘perlumbaan senjata’ kecerdasan buatan (AI) baharu. – Agensi

 

POPULAR