fbpx
FATHIA LATIFF

Fathia Latiff hati-hati, kurangkan guna media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM kehangatan industri seni tempatan kembali rancak selepas pandemik, diselangi dengan bertalu-talu naskhah segar yang mencipta fenomena serta wajah baharu menjadi pusat perhatian, melenyapkan seketika ingatan terhadap sinar bintang seorang ini.

Fathia Latiff, satu nama yang pernah berada di puncak populariti pada zaman kegemilangannya menerusi drama hit Ariana Rose.

Cuma sejak kebelakangan terutama ketika pandemik muncul, kelibatnya tak lagi hadir mewarnai kaca televisyen, sehinggakan ramai yang tertanya-tanya, ke mana menghilangnya Fathia Latiff?

“Dengan situasi sekarang, Covid-19 dan pandemik, sebenarnya ramai antara kita yang baru nak mula kembali bangkit.

“Dari segi mental dan fizikal, perlahan-lahan kita semua cuba kejar semula apa yang dah lama tertinggal. Jadi ini masa yang sesuai untuk saya buat comeback,” jawabnya mematikan persoalan yang berlegar dalam fikiran.

KATA Fathia, dia memerlukan banyak energi untuk mempersiapkan diri menyelami watak Aurora yang menjadi penanda aras kemunculan semulanya dalam industri.

Kerinduan peminat yang menerpa bagaimanapun bernoktah selepas si cantik tinggi lampai itu dilihat aktif berkongsi perkembangan terkininya dalam media sosial.

Fathia akan muncul dalam sebuah drama siaran Astro Prima berjudul Jesnita bermula 7 November depan di samping pelakon handalan seperti Nasha Aziz, Rozita Che Wan dan Intan Najuwa.

Penampilan terkini itu jugalah yang membuka ruang buat Pose mencuri sedikit masa terluang aktres itu mengajaknya bertandang ke sesi fotografi baru-baru ini.

Paling mengujakan, selepas lama menyepikan diri, Fathia tampil dengan sisi berbeza apabila mencabar diri membawakan watak antagonis bernama Aurora.

“Setiap watak dalam cerita ini ada karakter berbeza dan menariknya, naratif Jesnita akan buatkan penonton berteka-teki. Ada banyak plot twist yang tak terjangka,” ujarnya yang kali terakhir berlakon dalam siri Covid Oh Covid tahun lalu.

Profesional

Disoal tentang kesediaannya memilih untuk menjayakan watak antagonis, pelakon berusia 35 tahun itu mengakui ada timbul rasa tidak selesa biarpun pada awalnya perasaan teruja mendahului segalanya.

“Sebenarnya watak ini agak sukar untuk saya jayakan. Ini perkara yang paling sukar untuk saya. Mula-mula, rasa terujalah juga sebab dapat bawa watak antagonis.

“Tetapi sebenarnya watak begini buatkan saya terpaksa menggunakan banyak energi dalaman sebab banyak bermain dengan jiwa. Adakalanya ada terbawa balik ‘roh’ watak itu sebab Aurora sangat kontra dengan keperibadian sebenar diri saya,” kongsinya.

MENGHARAP tuah trending untuk drama kemunculan semula iaitu Jesnita, Fathia berkata, jika itu terjadi, ramai orang akan mendapat manfaat bukan hanya pelakon bahkan pasukan produksi.

Bersediakah andai Aurora membuatkan dirinya dibenci? Tatkala soalan tersebut dilayangkan kepada pemilik nama penuh Nur Fathia Abdul Latiff itu, dia menghulurkan jawapan yang optimis dan positif.

“Kalau dibenci, itu hak masing-masing (penonton). Saya takkan cakap apa-apa dan cuma jadi profesional. Lagipun sekarang peminat pun dah bijak pandai untuk menilai,” katanya yang mengharapkan Jesnita mampu mencipta trending.

Usai berbicara tentang perkembangan terkini dirinya, perbualan dibawa menelusuri tentang kehidupannya sepanjang ‘merehatkan’ diri daripada kerjaya seni.

Nama baik

Seperti resam bagi mana-mana selebriti, ‘kehilangan’ mereka bukan hanya dalam lakonan bahkan perkongsian media sosial.

Sekali-sekala aktif, Fathia juga begitu, hanya memuat naik perkongsian memaparkan dirinya bersama keluarga.

Akuinya lagi, tiada keperluan untuk dia selalu menggunakan media sosial kerana ada banyak lagi perkara penting (kerja) yang perlu diberi perhatian.

MAHU memainkan peranan sebagai seorang kakak yang baik, Fathia kini lebih berhati-hati menjalani kehidupannya terutama apabila melibatkan perkongsian dalam media sosial agar maruah serta nama keluarga terjaga.

Apatah lagi, kontroversi lama yang pernah menghambat dirinya suatu ketika dahulu mula mengubah cara pandangnya terhadap kehidupan media sosial.

“Kalau rasa tak perlu kongsi, jadi saya takkan buat. Lagipun saya tak nak ‘trigger’ apa-apa dan kurangkan kongsi pasal peribadi. Pengalaman lama ajar saya berhati-hati,” jawabnya ringkas.

Akuinya lagi, ada banyak hati dan nama baik yang perlu dilindungi. Sebagai seorang kakak dan mempunyai adik-adik, adalah menjadi tugasnya untuk memberi contoh terbaik kepada mereka.

“Masa saya banyak dibahagikan dengan keluarga. Saya tak nak nanti pada masa depan, ada timbul sesalan mengapa tidak guna peluang yang ada untuk bersama mereka.

“Pada usia begini, seharusnya kita dah boleh berfikir perkara yang baik-baik sahaja. Lainlah kalau saya tiada sesiapa, bolehlah main hentam saja kan,” tutup Fathia seraya menonjolkan pendirian matangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN