fbpx

Tak percaya penganjur, Search ‘gegar’ Penang, JB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS tiga bulan menjayakan Konsert Search Rockin’ On Rooftop, Search kembali menghiburkan peminat dengan dua buah persembahan lain di Pulau Pinang dan Johor.

“MASALAH kewangan memang antara salah satu faktor. Sebab, kebanyakannya memang kami buat sendiri.”

Demikian pengakuan gitaris kumpulan Search, Noordin apabila ada pihak yang mempersoalkan mengapa tiga bulan selepas konsert terakhir, Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, mereka terus ingin mengadakan dua konsert berikutnya secara ‘back to back’.

Selain Noordin, Search yang dianggotai Denden Gonjalez selaku vokalis, Kid (gitaris), Yan (bass), Minn (dram) bakal mengadakan dua konsert selepas ini iaitu di Rockin’ Arena, Penang Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang pada 24 Disember depan.

Lokasi seterusnya, konsert akan berlangsung pada awal tahun depan iaitu pada 28 Januari 2023 di AEON Mall, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, Johor.

Jelas Noordin, bukan mudah menjalin kerjasama dengan penganjur kerana mereka menyedari tidak semua boleh dipercayai 100 peratus.

Mana penganjur?

“Saya takut sebab pengalaman dah banyak dan saya tahu. Berdepan dengan penganjur, kita kena betul-betul.

“Saya tak nak nanti apabila minta benda yang dimahukan untuk konsert, ada sahaja yang tidak lengkap. Semasa perjanjian semua okey tetapi pada hari kejadian, entah ke mana. Sebab itu kami suka buat semua sendiri.

SELEPAS tiga bulan menjayakan Konsert Search Rockin’ On Rooftop, Search kembali menghiburkan peminat dengan dua buah persembahan lain di Pulau Pinang dan Johor.

“Kalau ada penganjur pun kami akan teliti betul-betul. Tengok apa yang berlaku sebelum ini pada kawan-kawan kita, dah sampai pentas tiada orang sambut.

“Mana pergi penganjur? Benda-benda sebegini yang selalu berlaku. Bukan kami jual mahal. Tidak sekali,” ujarnya.

Sementara itu, katanya lagi, Search terpaksa berehat selama tiga bulan selepas penganjuran Konsert Rockin’ On Rooftop yang berlangsung pada 11 Jun lalu atas beberapa sebab.

“Jarak antara Konsert Rockin’ On Rooftop dengan persembahan yang akan datang dalam enam bulan juga. Bukan apa, selepas konsert itu kami berehat tiga bulan sebab nak buat perancangan untuk persembahan seterusnya ambil masa. Ditambah pula dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Selain itu, faktor lokasi juga memainkan peranan. Kalau boleh, selepas Konsert Rockin’ On Rooftop, kami nak buat di tempat terbuka. Ada terfikir tempat lain tapi bukan ‘outdoor’ atau atas bumbung.

Faktor

“Diakui memang ramai yang minta kami buat cepat. Tapi, macam dikatakan tadi, kena ambil kira banyak faktor. Seperkara lagi, sewaktu menjayakan Rockin’ On Rooftop, kami tak boleh rancang konsert seterusnya sebab tak nampak lagi hasil konsert itu. Apabila berjaya, baru boleh ambil langkah seterusnya,” katanya kepada Hib Glam.

Menurut Noordin, disebabkan faktor cuaca juga, perancangan mengadakan konsert di Sabah yang dijadualkan pada November ini terpaksa ditunda.

“Konsert di Sabah yang sepatutnya pada November kami tangguh dahulu disebabkan faktor cuaca. Tapi kami tetap akan pergi ke Sabah dan Sarawak. Mewakili Search, saya mohon maaf kepada peminat di sana,” katanya.

Harga tiket untuk dua konsert tersebut dijual pada harga RM268 dan RM148. Tiket dijangka dijual minggu depan. Pembelian dibuat secara dalam talian dan fizikal di kedai Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI