fbpx

Sindiket isytihar barang dagangan sebagai kotak tisu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamisan (depan) ketika sidang akhbar kejayaan menumpaskan sindiket penyeludupan rokok, minuman keras dan mercun melalui kontena, hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Memalsukan dokumen kastam bagi mengeluarkan kontena yang tidak diikrar dengan mengisytiharkan barang seludup seperti rokok, arak dan mercun sebagai kotak tisu.

Itu modus operandi dipercayai digunakan untuk membawa masuk sejumlah barangan seludup disyaki dari Vietnam ke negeri ini.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar susulan satu serbuan serta pemeriksaan dilakukan pasukan kastam dari Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Siasatan Khas Zon Utara di sebuah gudang di Seberang Perai Tengah (SPT), kira-kira pukul 6.30 petang, 4 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, semasa serbuan dilakukan terdapat lima individu sedang memunggah dagangan dari sebuah kontena.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut pihak menjumpai dua lori ‘bonded’ yang berisi rokok selain menjumpai sejumlah rokok, minuman keras dan mercun dalam sebuah gudang berhampiran.

“Jumlah keseluruhan rokok tersebut yang bersamaan dengan 13.58 juta batang itu dianggarkan bernilai RM1,086,400 dengan nilai cukai berjumlah RM9,071,440.

“Selain itu, minuman keras yang dirampas iaitu 21,000 tin atau bersamaan 8,361.60 liter dianggarkan bernilai RM41,808 (cukai sebanyak RM195,466.75), manakala tujuh karton atau 280 paket mercun yang turut dirampas pula dianggarkan bernilai RM1,120 dengan nilai cukai sebanyak RM728,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Beritahu beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 atas cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais.

Dalam pada itu jelasnya, kesalahan tersebut boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar.

Katanya lagi, pesalah juga boleh dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kedua-dua pertuduhan tersebut.

“Orang ramai digesa untuk terus membantu pihak JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihat untuk tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI