fbpx

‘Cap’ dan ‘rice’ tidak jatuh reputasi Caprice – peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar 'cap' (topi) dan 'rice' (beras) yang dikongsikan menerusi Twitter Mydin baru-baru ini.

PETALING JAYA – Perkataan ‘cap’ dan ‘rice’ yang dimuat naik dalam hantaran syarikat pemborong dan peruncit, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) di Twitter baru-baru ini tidak akan menjejaskan reputasi penyanyi rap, Caprice.

Perkara itu dijelaskan oleh peguam Syed Muhammad Adeeb Barakbah Syed Muhammad Azman Barakbah menerusi hantaran video di TikToknya semalam.

“Isu Caprice dan Mydin ini menarik perhatian saya apabila Caprice ingin saman RM30 juta sekiranya Mydin gagal membuat permohonan maaf dan turunkan semula hantaran tersebut.

“Saya ingin nyatakan isu ini dari segi pandangan undang-undang dengan apa yang akan berlaku sekiranya saman ini betul-betul berlaku,” katanya.

Jelasnya, sekiranya situasi itu berlaku, pihak peguam akan melihat ia sebagai saman berbentuk fitnah.

“Terdapat tiga elemen dalam kes fitnah, saya akan kongsikan dua dan berbalik kepada isu tersebut adakah ia membawa fitnah dan ditujukan kepada Caprice?,” soalnya.

Syed Muhammad Adeeb memaklumkan, dua perkataan yang ditulis pihak Mydin tidak mempunyai unsur menjatuhkan reputasi Caprice.

“Itu satu elemen yang jelas menunjukkan saman tersebut tidak akan berjaya,” ujarnya.

Tangkap layar penerangan Syed Muhammad Adeeb berhubung isu tuntutan saman Caprice terhadap Mydin.

Selain itu, soalnya lagi adakah hantaran itu merujuk kepada Caprice.

“Ia (hantaran Mydin) nyatakan ‘cap’, betul ia boleh dirujuk kepada Caprice, tapi mungkin juga ia merujuk kepada jenama lain, terdapat banyak jenama lain yang mempunyai perkataan c.a.p juga.

“Saya percaya kita boleh fikir dua tiga jenama yang ada,” jelasnya.

Tambahnya, dua elemen yang dikaitkan dengan saman fitnah serta merujuk kepada kes yang tular itu seperti tidak akan berjaya kerana tiada unsur berkaitan yang kuat dijadikan sebagai bukti kes.

“Barangkali bawa ke mahkamah tidak berjaya kerana tidak mencapai keperluan dan satu lagi kalau berjaya, adakah boleh membawa kepada RM30 juta? Tiada lagi kes fitnah di Malaysia yang capai RM15 juta, apatah lagi RM30 juta walaupun berjaya.

“Bagi pandangan saya, walaupun Caprice berjaya dalam kes ini menyaman Mydin, paling tinggi RM10,000,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI