fbpx

Senarai calon BN selangor sudah diserahkan kepada ‘Top 5’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh.

BANGI – Senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah diserahkan kepada ‘Top 5’ parti itu minggu lalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, seramai 21 daripadanya adalah calon muka baharu.

“Sebanyak 21 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor merupakan muka baru kecuali saya satu-satunya muka lama kerana saya seorang saja yang menang PRU lepas.

“Kita sudah berunding dan hantar kepada ‘Top 5’ Rabu minggu lalu, tunggu diumum dalam masa terdekat.

“Saya juga diberi sasaran oleh ‘Top 5’ kerusi untuk dimenangi di Selangor, tetapi belum boleh beritahu nanti pembangkang tumpu kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa (JMKMSiswa) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Antara calon muka baharu BN di Selangor yang disebut-sebut akan bertanding di Parlimen Kuala Selangor ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Noh berkata, rakyat boleh menilai ketidakmampuan dan kepincangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan mentadbir negara.

Menurut beliau, PH pada PRU14 menabur pelbagai janji kepada rakyat, tetapi apa yang berlaku adalah mentadbir negara secara sesuka hati.

“Menukar peguam negara, lantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam kalangan ahli politik. Banyak aset negara tergadai.

“Selepas menang beberapa hari kemudian Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas dan dapat pengampunan, masa itu Kabinet pun belum tubuh,” katanya.

Sementara itu, katanya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak sepatutnya membangga diri dalam mentadbir Selangor.

“Apa yang mereka buat yang orang Selangor boleh banggakan. Kes denggi meningkat, stadium tak terjaga, isu gangguan air yang tidak pernah selesai, masalah banjir.

“Dulu BN nak buat Canal City, mereka batalkan. Belum lagi isu lombong pasir, tarah bukit, tebang hutan, kilang haram dan kawasan tadahan air dibangunkan jadi kawasan perumahan.

“Projek Langat 2 pun mereka bantah. Pentadbiran mereka berbeza dengan BN demi kepentingan rakyat dan bukan demi agenda sendiri atau parti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI