fbpx

Isu 27 kerusi kritikal selesai – Idris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Idris pada Perhimpunan Agensi dan Majlis Apresiasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Isu pembahagian calon bagi 27 kerusi Parlimen di kawasan kritikal antara Pas dan Perikatan Nasional (PN) sudah berjaya diselesaikan.

Perkara itu disahkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad ketika ditemui media pada Majlis Perhimpunan Agensi dan Apresiasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.

Idris berkata, semua kerusi yang akan ditandingi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dimuktamadkan oleh Majlis Syura semalam.

“Semua kita dah ada calon dah (termasuk 27 kerusi krtikal). Semua dah selesai dan calon dah ada.

“Sama ada nak bertanding atau tidak bertanding bukan soalnya, yang penting calon sudah ada,” katanya.

Isu 27 kerusi kritikal kembali hangat diperkatakan apabila Pas memutuskan untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding UMNO.

Penganalisis politik membayangkan PN tidak harus meletakkan calonnya di 27 kerusi berkenaan bagi mengelak pertembungan dengan Umno sekali gus memastikan kerusi itu tidak jatuh kepada Pakatan Harapan (PH).

Semua 27 kerusi Parlimen itu dikatakan kawasan kritikal kerana apabila jumlah undi UMNO dan Pas digabungkan berdasarkan keputusan PRU14 lalu, ia boleh mengatasi undi yang diperoleh PH.

Sebanyak 27 kerusi Parlimen itu ialah Kangar, Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Parit Buntar, Tambun, Lumut, Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kapar, Kuala Langat, Titiwangsa, Kuala Pilah, Tampin, Sri Gading, Tanjung Piai, Tangga Batu dan Putatan.

Sebelum ini, UMNO dan Pas dikatakan mahu berunding untuk meletak calon masing-masing di 27 kerusi kritikal itu ketika masih menjalin kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) demi mencapai kuasa politik Melayu yang lebih besar dan stabil di peringkat Parlimen.

Ditanya mengenai hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk kembali bergelar Perdana Menteri, Idris berkata, negarawan itu boleh bergelar Perdana Menteri semula jika mendapat sokongan ahli Parlimen.

“Syarat mahu jadi Perdana Menteri kena dapat sokongan ahli Parlimen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI