fbpx

ASEAN, EU tingkat kerjasama sektor pengangkutan udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syarikat-syarikat penerbangan di setiap blok boleh mengendalikan penerbangan terus yang akan memacu persaingan di kedua-dua pasaran. - Cityswift/Flickr

BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) me­meterai perjanjian pertama antara kedua-dua blok berkenaan  meliputi sektor pengangkutan udara serta kargo, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Menurut EU, kerjasama terbaharu itu akan segera menggantikan lebih 140 perjanjian perkhid­matan udara dua hala antara kedua-dua blok tersebut dengan hanya satu set peraturan.

Ia juga menyokong pemulihan dalam sektor aviasi yang terjejas akibat pelaksanaan sekatan perjalanan ketika kemuncak pandemik Co­vid-19.

“Perjanjian dua hala ini memberi kami platform baharu untuk bekerjasama ke arah penerbangan yang mampan dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar,” kata Komisioner EU untuk Pengangkutan, Adina Valean.

Menurutnya, pengangkutan udara merupakan penyumbang terbesar kepada pelepasan gas rumah hijau, manakala syarikat-syarikat penerbangan, bersama segmen lain dalam sektor tersebut kini berusaha mencari alternatif lain serta bahan api lebih bersih.

Perjanjian itu adalah pen­ting kepada EU, yang merekodkan lebih lapan juta penumpang udara ke 10 negara ASEAN pada 2019 sebelum pandemik Co­vid-19 melanda.

Menerusi perjanjian dua hala tersebut, syarikat-syarikat pe­nerbangan di setiap blok boleh mengendalikan penerbangan terus, yang dilihat bakal memacu persaingan di kedua-dua pasaran.

Dengan meletakkan penanda aras meliputi 37 buah negara terlibat dalam perjanjian tersebut, ia akan membuka kedua-dua pasaran kepada peluang perniagaan, perdagangan dan pelancongan yang lebih baik.

Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi berkata, perjanjian pe­ngangkutan udara komprehensif itu merupakan pencapaian penting dalam sektor penerbangan.

“Saya percaya Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif ASEAN-EU (ASEAN-EU CATA) akan mengukuhkan perkhidmatan pe­ngangkutan udara, menghubungkan orang ramai, kebudayaan dan perniagaan di seluruh benua dan dalam masa sama, menyokong pertumbuhan mampan sektor penerbangan,” katanya. – Agensi 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI