fbpx

Liz Truss didesak letak jawatan selepas 6 minggu bergelar PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Truss ketika menghadiri sidang akhbar di Downing Street, London pada 14 Oktober lalu. – AFP

LONDON – Tiga Ahli Parlimen Britain daripada Parti Konservatif secara terbuka mendesak Liz Truss meletak jawatan selepas enam minggu bergelar Perdana Menteri, disebabkan ketidaktentuan ekonomi negara  susulan pembentangan bajet mini baru-baru ini, lapor stesen penyiaran Sky News kelmarin.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pemilihan Negara, Crispin Blunt menjadi Ahli Parlimen pertama menyuarakan perkara itu secara terbuka selepas Kwasi Kwarteng dipecat daripada jawatan Canselor pada Jumaat minggu lalu.

“Jelas di sini bahawa Truss perlu melepaskan jawatannya dan menyokong bekas canselor, Rishi Sunak untuk menggantikannya.

“Emosi utama bagi orang ramai yang memerhatikan beliau berusaha untuk melakukan yang terbaik adalah kombinasi  kasihan, penghinaan atau kemarahan,” kata Blunt.

Selain itu, Ahli Parlimen  Leicestershire, Andrew Bridgen turut menggesa Truss meletak jawatan dengan berkata,  parti pimpinan Perdana Menteri itu tidak dapat meraih sokongan sambil menambah, negara Britain, rakyatnya dan parti (Konservatif) layak mendapat yang lebih baik.

Jamie Wallis  yang merupakan Ahli Parlimen bagi Bridgend di Wales pula berkata, beliau telah menulis surat kepada Truss bagi memintanya melepaskan jawatan kerana dilihat tidak lagi mendapat keyakinan seluruh negara.

“Dalam beberapa minggu ini, saya melihat kerajaan telah memandang rendah kredibiliti ekonomi Britain serta memecah belahkan parti ini. Cukuplah setakat ini,” kata Wallis menerusi kenyataan di laman Twitter.

Di bawah peraturan semasa Parti Konservatif, undi tidak percaya terhadap seseorang pemimpin tidak boleh dilakukan sehingga beliau berkuasa untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun. Justeru, secara teori, Truss berada dalam kedudukan selamat hingga September tahun depan.

Bagaimanapun, terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa ahli-ahli Parlimen yang berada dalam jawatankuasa 1922 mahu mengubah peraturan bagi mengurangkan tempoh menunggu tersebut.

Sekiranya jumlah ahli Parlimen yang menghantar surat tidak percaya kepada Perdana Menteri adalah mencukupi, eksekutif 1922 tidak mempunyai pilihan selain untuk mengubah peraturan tersebut.

Bendahari jawatankuasa tersebut, Geoffrey Clifton-Brown berkata, peraturan itu hanya akan diubah sekiranya mendapat usul sebahagian besar ahli Parlimen Parti Konservatif supaya mereka berbuat  demikian.

“Bagaimanapun, saya berpendapat situasi itu masih lambat untuk berlaku,” katanya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI