fbpx

K2

Himpunan tujuh generasi Waris Ganu Kite

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis HWGK berjaya mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga.

“KINI bertemulah kita, terjalin rasa saudara, dari jauh kita datang, sudah lama kita kenal.”

Itulah sebahagian untaian lagu berjudul Waris Ganu Kite yang didendangkan sewaktu Majlis Himpunan Jejak Mesra Waris Ganu Kite (HWGK) yang telah diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Himpunan yang diadakan buat julung kali itu telah dihadiri lebih 700 orang waris daripada keturunan dikenali sebagai Abdullah dan Aminah.

Penasihat HWGK, Mohamed @ Embong Awang berkata, himpunan tersebut diadakan bertujuan merapatkan hubungan silaturahim antara waris yang sebelum ini kurang mengenali antara satu sama lain.

Menurutnya, himpunan berkenaan telah berjaya menghimpunkan waris sehingga tujuh generasi daripada keturunan Abdullah dan Aminah.

“Saya sebagai antara generasi kedua yang masih hidup merasakan, perlu diadakan majlis sebegini bagi menghimpunkan waris-waris di seluruh Malaysia.

“Alhamdulillah, walaupun ia dirancang dalam tempoh tidak sampai dua bulan, sambutan yang kami terima amat baik. Waris-waris yang tinggal jauh juga sanggup hadir ke sini bagi menjayakannya,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, melalui himpunan tersebut, ia membolehkan waris-waris daripada generasi terkini mengetahui akan asal usul mereka dan mengenali saudara-mara yang memiliki pertalian darah sama.

Dalam pada itu, mengulas tentang jalur keturunan Abdullah dan Aminah, Mohamed berkata, mereka berdua merupakan pasangan suami isteri yang berasal dari Terengganu.

Menurutnya, kedua-dua mereka memiliki tujuh orang anak iaitu lima perempuan dan dua lelaki.

“Tiga daripada tujuh orang anak mereka telah berhijrah ke Kedah dan Johor, manakala selebihnya menetap di Terengganu.

“Masing-masing telah berkeluarga dan akhirnya berkembanglah waris-waris sehingga tujuh generasi,” jelasnya lagi.

PROGRAM bacaan Yasin turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana majlis.

Tambahnya, dia juga amat berterima kasih kepada ahli keluarga lain yang sanggup mencari salasilah keturunan tersebut bagi menjayakan himpunan berkenaan.

Melalui himpunan itu juga, waris-waris yang hadir dapat mengetahui tentang susur galur masing-masing dan juga jaluran-jaluran lain yang memiliki pertalian darah sama.

Sewaktu himpunan tersebut berlangsung, pelbagai program telah diaturkan bagi memeriahkan lagi suasana serta mengeratkan silaturahim.

Antara program yang diadakan termasuk acara bacaan Yasin, tahlil, berzanji serta selawat sempena Maulidur Rasul.
Turut diadakan adalah sukaneka bagi kanak-kanak sebagai acara sampingan.

Sementara itu, Pengerusi HWGK, Datuk Muda Mohamad berkata, walaupun pertama kali diadakan, namun sambutan yang diterima untuk majlis himpunan tersebut sangat baik.

Malah, waris-waris yang menyertai majlis berkenaan tidak lokek memberi sumbangan bagi menjayakan himpunan tersebut.

“Ramai waris yang tinggal jauh sanggup datang bagi memeriahkan himpunan buat pertama kali ini. Mereka ini datang dari pelbagai negeri seperti Kedah dan Johor.

“Melihat kepada sambutan baik ini, kami merancang dalam tempoh dua tiga tahun mendatang, himpunan sebegini akan diadakan lagi bagi membolehkan silaturahim antara waris terus terpelihara,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI